PASUKAN  UniKL  meraikan kejayaan  memenangi perlawanan Piala Sumbangsih dengan mengalahkan TNB. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
PASUKAN UniKL meraikan kejayaan memenangi perlawanan Piala Sumbangsih dengan mengalahkan TNB. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih apabila menewaskan TNB menerusi pukulan shootout 4-3 selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada masa sebenar, malam ini.

Ketua pasukan UniKL, Muhammad Marhan Mohd Jalil muncul wira apabila tenang menyempurnakan pukulan shootout terakhir pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu.

Ia sekali gus memberikan suntikan moral kepada juara treble musim lalu untuk mengharungi kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Separuh masa pertama menyaksikan aksi seimbang dengan TNB dilihat lebih meyakinkan apabila memperoleh dua pukulan sudut penalti tetapi ia disia-siakan begitu sahaja.

Namun baik TNB mahupun UniKL, kedua-duanya masih buntu untuk menghasilkan gol.

Memasuki babak kedua, TNB lebih garang dan hampir di depan pada minit ke-40 tetapi cubaan Shahril Saabah dibatalkan kerana melakukan pukulan back stick.

UniKL memperoleh dua pukulan sudut penalti minit ke-51 tetapi namun kedua-duanya gagal menghasilkan gol.

Seminit selepas itu, giliran TNB berpeluang untuk di depan selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti, tetapi peluang itu gagal dimanfaatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 10:17 PM