MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) mengucapkan tahniah kepada  Adiq  yang memenangi Jersi Putih.
MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) mengucapkan tahniah kepada Adiq yang memenangi Jersi Putih.
myMetro

Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Adiq Husainie Othman berharap laluan peringkat keenam LTdL dari Putrajaya ke Rembau hari ini tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepadanya.

Laluan sejauh 147.6 kilometer dilihat antara yang mencabar selain pendakian peringkat keempat ke Tanah Rata, Cameron Highlands kerana ia membabitkan empat zon pendakian di Broga, Lenggeng, Bukit Putus dan Bukit Miku selain tiga zon pecutan.

“Saya sudah biasa berkayuh di laluan itu. Sepatutnya tiada sebarang masalah buat saya meneruskan rentak kayuhan dalam usaha mengekalkan jersi pelumba terbaik Asia ini.

“Cuma saya harap tidak berdepan masalah terutamanya dengan basikal,” katanya yang berada di landasan tepat muncul pelumba pertama tempatan memenangi jersi itu sejak mula dipertandingkan pada 1998.

Dalam saingan dari Tapah ke Dataran Merdeka semalam, Adiq menjelaskan berdepan masalah dengan basikalnya hingga memaksa dia menukarnya pada pertengahan perlumbaan.

Adiq kini mengumpul 17’28:15s selepas lima peringkat dan hanya enam saat mengatasi pelumba Aisan Racing Team dari Jepun, Masakazu Ito manakala Zhao Jiangbiao dari Hengxiang Cycling Team ketinggalan tujuh saat.

“Sebenarnya, agar mendebarkan untuk saya apabila melihat perbezaan dengan dua pelumba itu. Saya perlu berhati-hati dengan strategi mereka untuk merampas jersi ini,” jelasnya.

Rakan sepasukan Adiq, Anuar Manan muncul pelumba terbaik Malaysia semalam apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 sekali gus sasaran TSG untuk menaiki podium masih belum tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:09 AM