ADIQ (tengah) memenangi jersi Putih LTdL yang berakhir, semalam..
ADIQ (tengah) memenangi jersi Putih LTdL yang berakhir, semalam..
Oleh Azlan Muhammad Zain

Melaka: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Adiq Husainie Othman menamatkan kemarau kejuaraan pelumba tempatan di Le Tour de Langkawi (LTdL) sejak 2010 apabila muncul pelumba terbaik Asia pada edisi ke-21 yang berakhir semalam.

Malah dia melakar sejarah sebagai pelumba tempatan pertama muncul pelumba terbaik Asia sejak mula dipertandingkan pada 1998, edisi ketiga LTdL.

Kali terakhir pelumba tempatan meraih kemenangan adalah menerusi Anuar Manan apabila meraih jersi Raja Pecut dan satu kemenangan peringkat pada 2010.

Adiq yang menyarung jersi putih selepas berakhirnya peringkat pendakian di Tanah Rata pada Sabtu lalu, akhirnya berjaya mengekalkan kedudukan sehingga tamat perlumbaan di Dataran Pahlawan, semalam dengan catatan 28 jam 32 minit 31 saat.

Pelumba berusia 25 tahun itu bagaimanapun berdepan cabaran sengit semalam apabila pelumba Aisan Racing Team Masakazu Ito yang berjaya memadam kelebihan enam kepada dua saat.

“Saya hilang kelebihan empat saat apabila dia berjaya menamatkan saingan pada kelompok depan (tempat ke-35). Namun kelebihan dua saat yang dimiliki membolehkan saya mengekalkan jersi,” katanya yang menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-38.

Pelumba yang pernah beraksi di Olimpik 2012 itu berkata, kejayaan di LTdL yang berstatus 2.HC adalah yang terbesar dalam kariernya.

“Amat bangga kerana pertama kali pelumba tempatan memenanginya dan menjadi pencetus untuk meraih kejuaraan lebih besar. Kejayaan ini adalah untuk TSG dan pelumba tempatan yang lain.

“Persediaan keras yang saya lakukan sebelum LTdL akhirnya membuahkan hasil. Berat badan saya turun sebanyak enam kilogram dari 64 kilogram untuk memastikan saya berada pada tahap terbaik untuk bersaing kali ini.

“Program persediaan tahun ini memberi fokus kepada pendakian dan ia memberi keyakinan kepada saya untuk mendaki dengan baik di Tanah Rata,” tambahnya yang berada pada kedudukan ke-21 dalam kategori individu keseluruhan.

Dia turut berharap kejayaannya sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan TSG yang gagal menaiki podium pada edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 8:11 AM