myMetro

Rembau: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Adiq Husainie Othman (gambar) bukan saja mahu mempertahankan jersi pelumba terbaik Asia namun memburu kemenangan peringkat hari ini.

Peringkat ketujuh dari Seremban ke Parit Sulong sejauh 202.3 kilometer adalah yang terpanjang dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) kali ini dengan menawarkan tiga zon pecutan dan dua zon pendakian.

“Saya tidak sabar menanti perlumbaan esok (hari ini). Saya meraih tempat ketiga tahun lalu untuk peringkat terpanjang dan harap tuah itu berulang.

“Jika ada peluang saya mahu memenangi peringkat ketujuh ini atau sekurang-kurangnya meraih kedudukan podium,” kata pelumba berusia 25 tahun itu.

Pada edisi 2015, Adiq meraih tempat ketiga pada peringkat kelima dari Kuala Terengganu ke Kuantan sejauh 200 kilometer apabila berjaya meninggalkan peloton bersama beberapa pelumba Asia.

Adiq masih mengekalkan jersi pelumba terbaik Asia walaupun menamatkan peringkat keenam dari Putrajaya ke Rembau di kedudukan ke-28.

“Tekanan memang ada apabila menyarung jersi kerana perbezaan masa yang kecil. Saya dan rakan sepasukan sentiasa memerhatikan pergerakan dua pelumba yang berpeluang merampas jersi ini.

“Saya harap semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah terutamanya membabitkan basikal. Pada 20 kilometer terakhir hari ini (semalam) saya berada dalam keadaan yang baik, cuba mengelak terbabit dalam kemalangan dan masalah mekanikal basikal,” katanya.

Secara keseluruhan untuk jersi itu, Adiq mengumpul 21 jam 02 minit 16 saat manakala pelumba Aisan Racing Team Masakazu Ito ketinggalan enam saat diikuti Zhao Jingbiao dari Hengxiang Cycling Team yang ketinggalan tujuh saat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 8:15 AM