Mazizul Dani


Kuala Lumpur: "Bila nak wish (ucap) hari lahir kau ni? 28 haribulan ke 1 haribulan?

"Birthday (hari lahir) kau tak ada lah tahun ini. Jadi tak payah wish lah ya.

"Tahun ni tak ada hadiah untuk kau ya, sebab birthday kau tak ada."

Itu antara ayat biasa didengari individu yang lahir pada 29 Februari yang disifatkan sebagai bukti rakan-rakan dan keluarga mengingati hari lahir mereka.

Tarikh 29 Februari hanya muncul empat tahun sekali pada tahun lompat berbanding bulan Februari tahun lain yang berakhir selepas 28 hari.

Secara saintifiknya, tahun lompat berlaku disebabkan pergerakan bumi mengelilingi matahari sebenarnya mengambil masa 365 hari dan 6 jam.

Namun enam jam yang ‘lebih’ itu dikumpulkan sehingga cukup untuk dijadikan satu hari dan hari berkenaan diletakkan pada 29 Februari sekali gus wujudnya tahun lompat setiap empat tahun.

Pegawai kanan agensi kerajaan, Mohd Aliffadhli Zakaria, 32, yang lahir pada 1984 berkata, dia hanya sedar mengenai keunikan tarikh berkenaan ketika berusia 8 tahun.

"Pada tahun itu, saya tertanya-tanya kenapa keluarga membuat sambutan yang agak istimewa untuk saya.

"Kemudian ayah memberitahu bahawa tahun berkenaan mempunyai hari lahir saya yang sebenar. Barulah saya sedar bahawa tarikh berkenaan hanya muncul empat tahun sekali," kata pemuda yang gemar melancong dan memasak pada waktu lapang.

Pada tahun yang tiada tarikh berkenaan, dia bagaimanapun tetap diraikan keluarga dan teman rapat, namun mengakui ia tidak tidak semeriah tarikh kelahirannya yang sebenar.

"Tahun yang tiada tarikh 29 Februari sebenarnya tidak ada beza sangat dan keluarga akan menyambutnya bersama dengan adik yang lahir pada 22 Februari. Jadi tidak rasa terasing.

"Kalau tahun yang ada tarikh itu, saya sudah tidak sabar sejak awal tahun sehingga berpesan kepada rakan-rakan mengenainya," katanya.

Apa pun beliau berkata, sama ada 28 Mac atau 1 Mac pada tahun-tahun biasa, dia tetap bersyukur kerana menerima ucapan yang dianggap doa daripada insan tersayang selama dua hari itu.

"Tahun ini, rasa istimewa sangat sebab selama ini, tipulah kalau tak nak tengok hari lahir dalam kalendar.

"Akhirnya, tarikh kelahiran saya muncul di kalendar tahun ini dan saya pastinya sangat teruja," katanya yang sudah ‘ditempah' oleh rakannya dari 27 Februari hingga 1 Mac untuk meraikan hari lahirnya.

Lain pula cerita guru Matematik dan Sejarah di sekolah kebangsaan di ibu kota, Noranaziah Johari, 36, yang sehingga kini menyimpan memori suka duka zaman persekolahan.

Gurunya pada waktu itu mengajar mengenai tahun lompat dan menjadikan dirinya sebagai contoh sehingga diusik rakan sekelas.

"Bila kawan-kawan tahu saya lahir pada tarikh 29 Februari, mereka usik, ketawakan saya kerana saya tiada hari lahir masa umur 10 tahun dan buat bunyi katak.

"Bila dah dewasa ini saya rasa biasa sahaja, cuma kalau tahun yang tiada hari lahir saya memang rasa tak excited (teruja) sangat," katanya yang lahir pada 1980.

Dia yang sudah berkahwin dengan empat anak bagaimanapun tetap tertunggu-tunggu apakah kejutan yang bakal diterima daripada orang tersayang dan rakan sekerjanya.

Sementara itu, tahun 2016 menjadi lebih istimewa buat Hafreez Aizat Hasni, 28, pegawai eksekutif di syarikat minyak dan gas, apabila menyambut hari kelahirannya pada 29 Februari bersama insan bergelar isteri buat pertama kali.

"Saya baru berkahwin Ogos tahun lalu. Jadi tahun ini sangat istimewa bagi saya kerana bukan sahaja tarikh kelahiran saya ada tetapi juga disambut bersama isteri tersayang.

"Walaupun saya perlu menunggu sehingga empat tahun untuk merasai hari kelahiran sebenar tetapi saya tetap bersyukur kerana saya menerima ucapan selama dua hari iaitu 28 Februari dan 1 Mac.

"Bagi saya ini bagus kerana ucapan mereka yang tidak putus-putus selama dua hari itu ibarat doa buat kesejahteraan diri saya," katanya.

Dia yang bakal menimang cahaya mata Jun ini mula mengenal erti tahun lompat pada usia enam tahun.

“Masa tadika dulu dah sedar apabila cikgu saya beritahu yang tarikh kelahiran saya agak unik iaitu empat tahun sekali. Tapi saya okay je.

“Bila sudah menginjak dewasa, saya rasa istimewa apabila rakan-rakan sekolah dan universiti meraikan saya dalam suasana yang lebih meriah, berbeza dengan rakan-rakan lain yang hari lahir mereka ada setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 1:40 AM
HAFREEZ Aizat dilahirkan pada 29 Februari.
HAFREEZ Aizat dilahirkan pada 29 Februari.
NORANAZIAH dilahirkan pada 29 Februari.
NORANAZIAH dilahirkan pada 29 Februari.
MOHD Aliffadhli dilahirkan pada 29 Februari.
MOHD Aliffadhli dilahirkan pada 29 Februari.