Azadan bercakap mengenai aplikasi WhatsApps beliau digodam scammer pada sidang media di Saujana Utama, Sungai Buloh. FOTO FAIZ ANUAR
Azadan bercakap mengenai aplikasi WhatsApps beliau digodam scammer pada sidang media di Saujana Utama, Sungai Buloh. FOTO FAIZ ANUAR
Ridzuan Abdul Rahman


Sungai Buloh : Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 51, meminta semua pihak memahami situasinya yang menjadi mangsa perbuatan 'scammer' dan tidak menjadikannya sebagai bahan jenaka.

Menurutnya, ketika hadir ke satu majlis tayangan filem baru-baru ini, rakan-rakan yang mengenalinya memanggilnya 'scammer' sekali gus membuatkan dia berasa malu dan tertekan.

"Saya tahu mereka bergurau tapi tetap beri kesan buat saya. Terkejut apabila masuk dalam pawagam, mereka 'boo' saya kata 'scammer'. Nasib baik ada seorang kawan dalam itu bagi penjelasan WhatsApp saya kena godam.

"Tapi saya memang rasa malu dan tertekan dengan apa yang berlaku sehinggakan keluarga minta jangan keluar ke mana-mana dulu. Saya minta orang jangan anggap perkara ini main-main.

"Tekanan memang ada kerana saya menanggung banyak nama iaitu Rabbani saja dah tujuh orang, keluarga Rabbani lagi, rakan-rakan niaga saya dan ramai lagi," katanya kepada Harian Metro.

Azadan turut meminta pihak media yang melaporkan berita berkenaan isu ini agar tidak meletakkan tajuk keterlaluan sehingga mengundang salah faham pembaca.

Azadan berkata, dia bimbangkan rakan-rakan yang mempunyai hubungan dengannya akan menjadi mangsa godam selepas ini.

"Nombor saya untuk dihubungi masih sama tapi nombor WhatsApp bertukar. Saya kena ingat semula tarikh-tarikh persembahan yang disimpan. Dekat 10 orang dah bagi duit, malah kawan di Australia pun dah terkena.

"Nombor WhatsApp itu saya gunakan untuk pengurusan, persembahan dan pelbagai lagi. Saya risaukan nombor-nombor VIP, penganjur dan mereka yang berkaitan kerana ada yang tak tengok penjelasan saya di Facebook," katanya.

Terdahulu, aplikasi WhatsApp Azadan digodam malam Sabtu lalu. Namun, perkara ini hanya disedarinya pada Ahad apabila mendapat banyak panggilan daripada teman yang menerima mesej sama daripada penggodam yang menyamar sebagai dirinya untuk meminjam wang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:28 PM