Wartawan Harian Metro


Kuala Lumpur: Pelakon Tasha Yong, 32, sedih dan kecewa akibat tertekan dengan pelbagai penghinaan yang diterimanya apabila terbabit dalam perniagaan makanan kerepek.

   Tash atau nama sebenarnya, Nur Natasha Shazlia Rosli dalam sesi 'live' di Instagram, menangis kerana tidak dapat lagi membendung tekanan dan kesedihan dialaminya yang diakui sudah dipendam sejak sekian lama. 

   "Ini adalah kali pertama saya berasa putus asa. Selama ini, saya tutup aib, tutup rasa 'down' (kecewa). Saya tunjuk yang diri okay, saya kuat. Hari-hari saya kongsi 'live' semangat pada orang yang tengah 'down', sampai mereka pulih semangat semula.

   "Tanpa mereka tahu betapa hancurnya hati saya. Dihina, dicaci, tiada siapa 'support' (sokong) saya buat jual kerepek ini. Mungkin mereka rasa hina sangat berniaga kerepek. Tapi, saya tetap teruskan sebab nak bantu orang susah buat duit.

   "Sebab saya faham macam mana rasa susah itu. Malah, setiap kali engkau gagal, orang akan tepuk tangan. Bila nak bangkit, tiada siapa hulur tangan. Saya dah lelah," tulisnya. 

   Dalam perkongsian lain, Tash turut memohon agar mana-mana pihak jangan membunuh impian orang lain untuk berjaya.

   "Tolonglah, kalau tiada rasa nak bantu, janganlah awak bunuh dan tarik orang itu kebawah. Lama saya pendam dan tahan sesak dada ini, tak tunjuk kesedihan pun. 

   "Saya tunjuk semangat kepada orang lain. Setiap kali, saya buat sesi motivasi bantu orang ubah hidup, alhamdulillah hidup saya juga mula berubah.

  "Tapi memang akan ada hamba Allah yang hati macam 'iblis', penuh hasad dengki yang setiap kali akan jatuhkan kau. Selagi kau tak mampus selagi tu dia takkan puas hati," katanya. 

  Pelakon drama Memori Cinta Suraya, Cinta Ibadah dan pelbagai drama lain itu berkata, selama dia bersabar selagi itu dirinya terus diuji sehinggakan dia menjadi lemah.

   "Kali ini, saya jujur beritahu yang memang diri tengah tak okey. Tapi tak bermakna saya akan 'down' selamanya. Mentor saya ajar, untuk bangkit 10 kali," katanya. 

   Perkongsian dibuat Tash Yong itu mendapat maklum balas positif daripada rakan-rakan artis antaranya Janna Nick, Adriana Adnan, Marissa Yasmin, Ieda Moin dan ramai lagi yang rata-rata memberikan kata semangat kepadanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 12:33 PM