FAREZ Faizal (lima dari kanan) menyambut hari jadi setiap 29 Februari.
FAREZ Faizal (lima dari kanan) menyambut hari jadi setiap 29 Februari.
Sri Ayu Kartika Amri dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Dilahirkan pada tarikh 29 Februari menjadikan insan bertuah ini unik.

Ini kerana tarikh itu hanya muncul dalam tempoh empat tahun sekali.

Ikuti perkongsian tiga individu ini yang melalui pelbagai suka duka berikutan dilahirkan pada tarikh istimewa itu.

KISAH 1

Kenangan ketika di zaman sekolah rendah berikutan sering diejek dan dipersoal kerana tiada tarikh lahir sama sekali tidak membuat Farez Faizal Mat Husin, 36, berasa tersisih.

Ini disebabkan keluarganya sentiasa menyambut hari kelahirannya setiap tahun apabila dia semakin meningkat dewasa manakala selepas memasuki alam pekerjaan, tarikh lahirnya disambut meriah oleh rakan sekerja.

Dilahirkan pada 29 Februari 1988 di Hospital Kuala Lumpur, Farez berkata, ibunya tidak menyangka bahawa dia akan lahir pada tarikh unik itu.

"Saya lahir tepat jam 11.55 malam. Ibu bercerita kalau saya 'bersabar' sedikit, saya mungkin lahir pada tarikh normal (1 Mac).

"Bagaimanapun ia memberi saya pengalaman luar biasa kerana diraikan lebih meriah berikutan menyambut hari jadi setiap empat tahun sekali.

"Namun, zaman kanak-kanak ketika sekolah rendah saya kerap diejek dan pernah rasa dipinggirkan, tetapi saya faham semua masih kecil lagi dan tidak berapa faham mengenai tahun lompat.

"Apabila masuk sekolah menengah, ada juga rakan yang mempunyai tarikh lahir sama, jadi saya tidak kekok dan cabaran saya sekarang perlu menerangkan banyak kali kepada anak buah wujudnya tarikh lahir ini sebab mereka kerap bertanya.

"Dan ada juga orang dewasa bertanya sebab mereka tidak tahu kewujudan tarikh 29 Februari dalam kalendar," kata anak kelima daripada lapan beradik itu.

Farez berkata, tiada yang pelik atau unik bagi mereka yang lahir pada tahun lompat kerana tidak banyak perbezaan berbanding orang lain.

"Namun, saya perhatikan rakan yang berkongsi tarikh lahir sama sangat meminati apa sahaja bidang berkaitan kesenian termasuk muzik.

"Saya sendiri sebenarnya kadangkala sampai terlupa tarikh lahir sebab kena tunggu lama, tetapi keluarga dan rakan selalu mengingatkan serta akan membuat sambutan walaupun secara kecil-kecilan.

"Dalam keluarga pula, hanya saya yang lahir pada tahun lompat dan mereka serta rakan akan lebih teruja apabila dalam kalendar ada tarikh 29 Februari dan sering mengingatkan saya (mengenai tarikh itu)," katanya.

KISAH 2

Ketika kecil, wanita ini bingung dan janggal kerana perlu menanti kemunculan tarikh lahirnya 29 Februari berikutan ia hanya berlaku empat tahun sekali.

Sebaik meningkat dewasa, Nurlela Mazlan, 44, berkata, dia mula memahami, malah berasa bertuah dilahirkan pada tarikh istimewa itu.

Katanya, dalam keluarga, cuma dia yang lahir pada tarikh berkenaan.

"Saya lahir tepat ikut tarikh jangkaan emak saya bersalin.

"Waktu itu memang emak dan ayah bertambah-tambah teruja apabila dapat menimang anak pertama yang kebetulan lahir pada tarikh unik itu," katanya.

Berkongsi memori ketika kecil, Nurlela berkata, dia tidak dapat menerima kenyataan dilahirkan pada tahun lompat.

"Dulu masa budak-budak, saya tak boleh terima dan menangis kenapa perlu tunggu tarikh 29 Februari ada dalam kalendar empat tahun sekali.

"Tambah tertekan apabila kawan-kawan sekolah ejek tarikh lahir saya tidak ada dalam kalendar.

"Walaupun jenuh emak saya terangkan, saya tetap tidak puas hati, tetapi masuk sekolah menengah baru saya mula faham," katanya.

NURLELA yang lahir pada tahun lompat, 29 Februari. FOTO Rohanis Shukri
NURLELA yang lahir pada tahun lompat, 29 Februari. FOTO Rohanis Shukri

Menurutnya, biarpun tarikh itu datang cuma empat tahun sekali, namun dia akan menerima ucapan ulang tahun kelahiran daripada kawan dan keluarga dua kali iaitu pada setiap 28 Februari dan 1 Mac.

"Rasa seronok sebab orang akan ucap dua kali tetapi apabila muncul 29 Februari itu dalam kalendar, rasa teruja akan lebih sedikit.

"Ada juga kawan-kawan baik hati meraikan hari jadi saya di hotel kerana uniknya ia datang empat tahun sekali," katanya.

Nurlela berkata, dia juga sering menjadi perhatian terutama ketika mengisi maklumat peribadi dalam borang rasmi.

"Biasanya apabila saya mengisi apa-apa borang, ada saja orang tegur sebab tarikh lahir saya unik.

"Selain itu, saya juga akan memperbaharui lesen memandu empat tahun sekali berbanding orang lain," katanya.

Tahun ini, katanya, dia mahu menyambut ulang tahun kelahiran dalam keadaan sederhana dengan berkongsi rezeki bersama anak yatim di kawasan tempat tinggalnya.

"Saya niat hendak hantar makanan di rumah anak yatim berdekatan Puchong sempena kemunculan 29 Februari tahun ini," katanya.

KISAH 3

Sambutan ulang tahun kelahiran menjadi hari paling dinantikan semua orang, lebih-lebih lagi ketika zaman kanak-kanak.

Namun, bagi Nabila Yasmin Mohd Razib, 36, ia memberi pengalaman berbeza kerana hanya dapat meraikan sambutan kelahiran setiap empat tahun.

"Ketika saya kecil selalu rasa terkilan, lebih-lebih lagi tengok orang lain sambut hari jadi setiap tahun tetapi saya tak ada.

"Apabila sudah besar, jadi biasa dan sampai umur pun saya lupa sebab tak sambut ulang tahun kelahiran.

"Semakin beranjak dewasa saya mula faham, saya lahir tahun lompat dan memang setiap empat tahun sekali baru boleh sambut hari jadi, malah dalam keluarga, saya seorang saja yang lahir 29 Februari dan memandangkan adik saya lahir 3 Mac, jadi selalu saya akan tumpang sambut hari jadi sama-sama.

"Jujurnya saya tidak pernah rasa terpinggir, bahkan saya rasa istimewa sebab walaupun tahun lompat, semua akan ucap hari jadi pada 28 Februari atau 1 Mac," katanya yang mempunyai seorang cahaya mata.

NABILA Yasmin (dua dari kanan) ketika kecil.
NABILA Yasmin (dua dari kanan) ketika kecil.

Nabila turut berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya semasa berusia 12 tahun di mana dia bersama arwah ayah terpaksa melalui proses yang rumit kerana banyak kali perlu berulang-alik ke ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menguruskan kad pengenalannya.

"Pada ulang tahun kelahiran ke-12 juga menjadi pengalaman terindah kerana diraikan dengan rakan di perhimpunan sekolah dan dapat banyak hadiah.

"Apabila masuk sekolah menengah, saya tidak keseorangan kerana ada dua rakan sekelas mempunyai tarikh lahir sama dan sampai sekarang kami masih berkawan," katanya yang dilahirkan pada 1988 di Hospital Kluang, Johor.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, pada usia 36 tahun bermakna hari ini (29 Februari) dia menyambut ulang tahun kelahiran buat kali kesembilan.

"Jika orang biasa sambutan sudah pasti 36 kali, tetapi saya baru sembilan kali sambut hari jadi dan jujurnya saya sentiasa fikir saya berumur 28 tahun.

"Kenangan manis saya pada 2020, pertama kali saya dapat kejutan hari jadi candle light dinner daripada suami sebab sepanjang tujuh tahun berkenalan tidak pernah menyambut hari jadi," katanya.

NABILA Yasmin meraikan hari jadi pada tahun lompat.
NABILA Yasmin meraikan hari jadi pada tahun lompat.

Julius Caesar pelopor tahun lompat

Tahun lompat muncul apabila pemerintah terkenal Rom, Julius Caesar menetapkan tempoh setahun mempunyai 365.25 hari.

Pensyarah Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil berkata, setiap tahun mempunyai lebihan 0.25 hari (satu perempat hari atau suku hari) sekali gus menjadikan tahun keempat akan mempunyai satu hari tambahan.

"Ia dikira berdasarkan 0.25 kali empat bersamaan dengan satu hari.

"Jadi selepas setiap empat tahun, akan ada satu hari tambahan, menjadikan tahun berjumlah 366 hari itu yang dinamakan tahun lompat.

"Satu hari tambahan ini dipilih untuk dimasukkan ke Februari kerana dalam kalendar purba Rom, bulan ini adalah bulan terakhir dalam setahun.

"Justeru, hari tambahan ini dimasukkan ke bulan terakhir," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya, sistem kalendar moden hari ini diwarisi daripada tamadun Rom yang diasaskan Romulus yang hidup seawal 700 sebelum Masihi.

"Kalendar Rom berdasarkan pergerakan matahari di langit yang mempengaruhi kejadian empat musim di permukaan bumi.

"Julius Caesar yang hidup antara 100 hingga 44 sebelum Masihi adalah pemerintah yang bertanggungjawab memperkenalkan tahun lompat dalam sistem kalendar Rom.

"Jadi, amalan tahun lompat sudah bermula hampir 2,000 tahun yang lalu," katanya.

Menurutnya, individu yang lahir pada 29 Februari juga sama seperti individu lain atau tiada perbezaan khusus.

"Tiada bukti kukuh menunjukkan individu yang lahir pada 29 Februari memiliki persamaan (keunikan tertentu) dari segi sifat jasmani mahupun rohani mereka.

"Ini kerana 29 Februari adalah hari sama macam hari-hari sebelum dan selepasnya.

"Selain itu, sebagai orang Islam, kita tidak percaya tarikh lahir berkuasa menentukan untung rugi nasib kita," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 12:00 PM