Abu Talib bersama Prof Muhaya.
Abu Talib bersama Prof Muhaya.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Dahsyat kuasa fitnah ni. Klip 56 saat dari sesi asal 45 minit, cukup untuk merosakkan."

Itu kata pengacara dan personaliti TV Abu Talib Husin susulan kenyataan pakar motivasi, Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad yang mencetuskan kontroversi iaitu mengenai wanita yang perlu 'buat-buat bodoh' jika ingin bahagia di samping suami atau ingin cepat bertemu jodoh.

Difahamkan kenyataan itu dipetik daripada sesi siaran langsung di laman Facebook Prof Muhaya serta YouTube Prof Muhaya TV yang berdurasi selama 45 minit dan diterbitkan pada 6 Februari lalu.

Abu Talib bertindak selaku moderator pada sesi itu berkata, dia belajar sesuatu daripada apa yang ditularkan sehingga menimbulkan pelbagai maklum balas dan kritikan dalam kalangan wanita.

"Saya semakin faham bahaya melihat klip satu minit atau petikan klip pendek. Saya belajar sesuatu. Kalau tertengok apa-apa yang tak elok, sebaiknya diam sebab tak tahu asal-usul kisahnya.

"Sekarang ini macam mana nak minta maaf pada orang yang disindir, kecam dan aibkan? Ya, dari susah payah di akhirat, baik selesaikan sementara nafas masih ada. Tabayunn (selidik) buahnya kefahaman. Terburu-buru buahnya kekesalan.

"Kalau rakan-rakan semua rasa Prof Muhaya sudah buat yang terbaik untuk ummah, ada kebaikan yang beliau pernah lakukan, mari bercakap adil untuknya," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram, Abu Talib berkongsi situasi sebagai kiasan terhadap apa yang berlaku ketika ini.

"Mula-mula aku seorang melenting, kecam dan kongsi. Orang lain komen, seorang lagi tengok hantaran, tengok komen kemudian kongsi sambil kecam. Netizen komen, kecam selepas itu disambung buat hantaran meleret.

"Netizen kecam, fitnah, menyindir, berasa hebat, aku lebih bijak dari kau, kena buat jawapan balas, serang media sosial dan maki hamun. Netizen tak tahu hujung pangkal, tak semak dulu, saya memang tak suka pun dia ni, kecam lagi, orang lain sambung kecam," katanya.

Susulan kenyataan yang tular itu, Muhaya memohon maaf berhubung isu kenyataannya yang mencetuskan kontroversi itu.

Muhaya dalam kenyataan di Instagram berkata, perkara itu hanya salah faham.

"Bonda mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang ambil berat termasuk pihak media, rakan-rakan dan keluarga yang mengambil inisiatif tabayyun atau bertanya akan perkara sebenarnya kepada bonda mahupun team bonda.

"Kepada pihak media juga, sangat baik budi akhlaknya sehingga kini menanti kenyataan bonda, maka bonda tampil membuat penjelasan ini. Terima kasih kerana sabar ya. Sebenarnya, buat yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut, semua jawapan terkandung di pautan youtube Prof Muhaya TV bertajuk Cinta dan Cita-cita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 10:25 AM