FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Pusat Konservasif Gajah Kebangsaan (PKGK) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan berjaya memasukkan dua gajah dalam lori untuk dipindahkan ke Tasik Kenyir, Terengganu, hari ini.

Ketua Unit PKGK Nasharuddin Otman, berkata dua daripada lima gajah yang ditangkap di Hutan Simpang Triang, di sini, pada 12 dan 16 Februari lalu, dimasukkan dalam lori bermula 11 pagi hingga 2.30 petang.

Katanya, baki tiga lagi gajah akan dihantar ke Terenggau pada Selasa ini.

"Operasi memasukkan gajah dalam lori dilakukan 26 kakitangan PKGK dan PERHILITAN.

"Awalnya, kami merancang memindahkan kelima-lima gajah iaitu dua ibu dan tiga anak ke Tasik Kenyir.

"Disebabkan faktor cuaca, jalan licin dan berbukit, hanya dua gajah yang dapat dimasukkan dalam lori seberat 10 tan," katanya.

Menurutnya, untuk memasukkan haiwan itu dalam kenderaan, petugas menggali tanah bagi memastikan ketinggian gajah menyamai kedudukan lori.

"Siasatan dijalankan mendapati kelima-lima gajah ini datangnya dari Hutan Simpang Kemasol, Bentong, Pahang.

“Haiwan ini merempuh perjalanan sejauh 60 kilometer ke Hutan Simpang Triang apabila habitat lama projek ditebang bagi projek pembinaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 6:36 PM