Roselan Ab Malek


Jerantut: Empat gajah betina liar yang merayau mencari makanan berdekatan ladang sawit di Felda Kota Gelanggi Tiga, dekat sini, berjaya dijinakkan dalam operasi dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

Semua gajah ditangkap Unit Tangkapan Gajah (UTG) dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang itu dipindahkan ke Taman Pemuliharaan Gajah Tasik Kenyir, Terengganu.

Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, dua gajah denak iaitu Rambai dan Kasturi yang dibawa dari PKGK Kuala Gandah, Lanchang digunakan untuk operasi penangkapan bermula sejak seminggu lalu.

"Ketika pemantauan serta operasi pertama pada 8 Ogos, kami menangkap dua gajah liar manakala dua hari kemudian, dua lagi ditangkap di kawasan pinggir hutan berdekatan ladang sawit Felda Kota Gelanggi Tiga.

"Empat gajah liar ini adalah kawanan membabitkan 20 hingga 30 ekor gajah yang masih merayau-rayau dalam beberapa kumpulan di kawasan Hutan Simpan Tekal di mukim Tembeling Tengah, Pulau Tawar dan kawasan ladang Felda ini.

"Dua daripadanya dipindahkan semalam, manakala dua lagi dipindahkan hari ini," katanya kepada media selepas operasi memindah gajah di kawasan ladang sawit Felda Gelanggi 3, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.

Beliau berkata, pada masa sama, Perhilitan berjaya mengawal pergerakan sekawan 12 gajah liar daripada menceroboh kawasan ladang sawit di Felda Gelanggi Satu dan Tiga.

Menurutnya, kumpulan gajah itu akan berterusan berada berdekatan dengan Felda Gelanggi 1,2, 3 dan Tekam Utara kerana kawasan itu adalah kawasan rayau haiwan berkenaan.

"Gajah itu bergerak dalam radius 25 kilometer sehingga ke kawasan Hutan Simpan Tekal dan berpecah mengikut kumpulan antara lima hingga 12 ekor dan kadang-kala menjadi kumpulan besar sehingga 30 ekor.

"Kami mencadangkan supaya pagar elektrik dipasang di kawasan ladang sawit Felda ini bagi mengelakkan kehadiran gajah yang merayau dan memasuki kawasan ini dan menimbulkan konflik kepada penduduk setempat.

"Usaha penangkapan serta pemindahan gajah ini antara alternatif untuk menyelamatkan haiwan liar ini di samping memberikan keselesaan penduduk supaya dapat bekerja di ladang sawit dengan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 3:04 PM
ANGGOTA Unit Tangkapan Gajah, Kuala Gandah sedang menaikkan dua ekor gajah liar yang ditangkap ke atas lori. FOTO Roselan Ab Malek
ANGGOTA Unit Tangkapan Gajah, Kuala Gandah sedang menaikkan dua ekor gajah liar yang ditangkap ke atas lori. FOTO Roselan Ab Malek