DATUK Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (baju putih krim) memberi makan kepada dua ekor gajah 'Abong dan Teanag' di Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. FOTO Aswadi Alias
DATUK Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (baju putih krim) memberi makan kepada dua ekor gajah 'Abong dan Teanag' di Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. FOTO Aswadi Alias
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kesal dengan penyebaran viral yang memaparkan seekor gajah mati dilanggar sebuah lori baru-baru ini yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kes berkenaan hanya ditimbulkan semula pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih perhatian.

Katanya, berita dan gambar mengenai gajah mati dilanggar lori itu adalah kejadian lama dan bukan berlaku baru-baru ini seperti yang disebarkan.

"Berita itu adalah kes pada 2011 iaitu gajah betina yang mati dilanggar lori pembancuh simen di Lebuh Raya Timur Barat ketika sedang melintas jalan dari hutan berhampiran Tasik Banding.

"Kes haiwan terancam yang mati akibat dilanggar kenderaan baru-baru ini hanyalah membabitkan seekor harimau belang yang bunting dua anak di Lebuh Raya Pantai Timur 2 pada dua minggu lalu.

"Setakat ini, hanya empat harimau dilaporkan mati sepanjang Januari lalu iaitu seekor harimau belang betina yang bunting dua anak mati dilanggar sebuah kereta di LPT2 manakala satu lagi kes penemuan bangkai harimau belang selepas tertangkapnya tiga suspek sindiket menjual harimau belang di Kemaman, Terengganu," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Perhilitan dan kerajaan Terengganu bagi kerjasama dalam program konservasi gajah di Pusat Konservasi Gajah Tasik Kenyir, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 7:31 PM