ETF adalah dana syariah pertama di Asia.
ETF adalah dana syariah pertama di Asia.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: i-VCAP Management Sdn Bhd (i-VCAP), syarikat pengurusan dana Islam, komited meningkatkan jumlah saiz dana dagangan bursanya (ETF) sebanyak 20 peratus tahun ini iaitu kira-kira RM70 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahdzir Othman berkata, setakat ini langganan bagi ETF berjumlah RM350 juta bagi empat dananya yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Katanya, I-VCAP melaksanakan aktiviti pengurusan dana Islam secara eksklusif sejak penubuhannya pada 2007, termasuk ETF yang mematuhi syariah pertama di Asia.

“Sambutan terhadap dana ETF mengalami pertumbuhan biarpun secara perlahan, namun kami percaya menerusi program kesedaran dan pemahaman mengenai produk dana ini dalam kalangan pelabur ia akan meningkatkan lagi produk ini di pasaran.

“Malah, melalui kerjasama dengan Bursa Malaysia dan bank pelaburan tempatan, kami menyasarkan lebih ramai golongan Bumiputera akan melanggan ETF,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini terdapat empat dana ETF yang diuruskan oleh i-VCAP iaitu MyETF Thomson Reuters Asia Pacific ex-Japan Islamic Agribusiness (MyETF-AGRI), MyETF MSCI SEA Islamic Dividen (MyETF-MSEAD), MyETF MSCI Malaysia Islamic Dividend (MyETF-MMID) dan MyETF Dow Jones Islamic Market Malaysia Titans 25 (MyETF-DJIM25).

Mahdzir berkata, semua dana ETF terbabit berstruktur sama seperti saham unit amanah, selain turut membayar dividen kepada pemegangnya secara tahunan.

Beliau berkata, lebih menarik, yuran pengurusan ETF lebih rendah iaitu kurang dari 1.0 peratus berbanding yuran yang dikenakan terhadap pembelian unit amanah, malah harga pasaran ETF hampir sama dengan Nilai Aset Bersih (NAV) dana.

“Dana yang kami tawarkan ini sangat sesuai untuk mereka yang baru berjinak dalam pasaran saham kerana ETF mempunyai pilihan untuk jangka sederhana dan panjang, serta dilabur dalam kumpulan saham, bon, ekuiti.

“Risikonya juga rendah berbanding dengan pembelian saham dalam syarikat tertentu kerana ia disenaraikan dalam beberapa syarikat terpilih, malah portfolio pelaburannya cukup telus dalam pengamatan indeks ETF,” katanya.

Mahdzir berkata, dana MyETF bermula dari RM1 seunit dan untuk melanggan, pelabur perlu membuka akaun CDS. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.myetf.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:05 AM