Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan di Bursa Marketplace Fair 2023. - FOTO NSTP
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan di Bursa Marketplace Fair 2023. - FOTO NSTP
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Pengupayaan dagangan saham pecahan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jun lalu, dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan menjadikan kebolehcapaian pelabur runcit untuk mendapat akses kepada pembelian saham 'Blue Chip' yang lebih mudah dan mampu milik.

"Pelabur runcit selepas ini tidak perlu membeli satu lot yang ada 100 unit, mereka boleh beli satu dua unit atau RM10, RM30, RM40, RM50, tidak semestinya beribu-ribu ringgit.

"Ini satu perkara yang boleh merancakkan dan lebih ramai lagi pelabur runcit di luar sana yang mampu untuk membeli saham sekali gus boleh memperhebatkan lagi pasaran modal Malaysia," katanya pada Bursa Marketplace Fair 2023 di sini, hari ini.

adir sama, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.

Jun lalu, Anwar mengumumkan inisiatif untuk merancakkan pasaran saham dan modal di Bursa Malaysia termasuk pengurangan kadar duti setem atas transaksi saham daripada 0.15 peratus kepada 0.1 peratus serta melancarkan Dana Pertukaran Pedagang (ETF).

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, pihaknya berharap dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan dapat meningkatkan lagi bilangan pelabur runcit dalam pasaran saham di negara ini.

"Kita melihat ada peningkatan pelabur runcit di pasaran saham mencecah 28 peratus. Jadi sekarang kita sudah ada 1.4 juta pelabur yang aktif dan seramai 191,000 adalah dari Johor.

"Dari segi pembukaan akaun baharu pula, tahun lalu, seramai 13,800 akaun pelabur runcit dibuka dan ia merangkumi 14 peratus daripada 99,600 jumlah akaun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 3:25 PM