SHAN Kamahl (kanan) pada sidang media majlis pelancaran Dana Peluang ESG.
SHAN Kamahl (kanan) pada sidang media majlis pelancaran Dana Peluang ESG.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: VCAP Asset Managers (VCAM) Sdn Bhd, anak syarikat ValueCAP Sdn Bhd, melancarkan dana pertumbuhannya, Malaysian ESG Opportunity Fund bagi menggalakkan pasaran modal domestik yang mampan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shan Kamahl Mohammad berkata, dana ekuiti terbuka itu akan melabur dalam 25 syarikat yang tersenarai di dalam indeks FTSE4Good Bursa Malaysia.

Antara 10 syarikat yang tersenarai dalam indeks terbabit ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, CIMB Group, Axiata, DiGi, Petronas Gas, Petronas Chemical Group, Telekom Malaysia, MISB Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd.

“Dana Peluang ESG ini mempunyai unit tidak terhad dan boleh dibeli seberapa banyak yang pelabur mahukan, namun keperluan minimum untuk setiap pelaburan adalah 250,000 unit dan dijual pada harga RM1 seunit.

“Walaupun dana ini adalah dana pertumbuhan, tetapi Malaysian ESG Opportunity Fund akan dilaburkan terhadap saham mewah. Meskipun saham mewah ini tidak lagi mencatatkan kadar pertumbuhan nilai yang tinggi, namun ia masih menawarkan kadar pulangan yang baik,” katanya pada sidang media di majlis pelancaran Dana Peluang ESG, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan, Pengerusi ValueCap, Datuk Hamzah Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ValueCap, Sharifatu Laila Syed Ali.

Shan berkata, antara 70 peratus hingga 95 peratus aset dana itu akan ditempatkan dalam saham syarikat dan pelaburan awal mininum ialah RM250,000 dengan tambahan pelaburan minimum RM100,000 serta pegangan unit minimum ialah 10,000 unit.

Menurutnya, Malaysia perlu mengambil kelebihan dan peluang yang ada sejajar dengan misi menjadi negara maju menjelang 2020 terutama disokong oleh kestabilan dan urus tadbir yang baik.

ValueCap ketika ini dimiliki bersama Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd memegang 33.34 peratus, 33.33 peratus dan 33.33 peratus masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif ValueCAP, Sharifatu Laila Syed Ali berkata, mengenai unjuran syarikat pelaburan terbabit, ValueCAP menyasarkan pertumbuhan sebanyak 12 peratus bagi aset di bawah pengurusannya untuk dua tahun akan datang.

Ketika ini pengurusan aset VCAM bernilai RM4.5 bilion, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 7:40 AM