Mahdzir
Mahdzir
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: i-VCAP Management Sdn Bhd (i-VCAP) optimis untuk meningkatkan jumlah saiz dana dagangan bursanya (ETF) kepada 50 peratus dalam tempoh dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mahdzir Othman berkata, i-VCAP setakat ini mempunyai jumlah saiz dana sebanyak RM1.6 bilion bagi keseluruhan dana yang diuruskan termasuk institusi dan runcit.

Katanya, I-VCAP melaksanakan aktiviti pengurusan dana Islam secara eksklusif sejak penubuhannya pada 2007, termasuk ETF yang mematuhi syariah pertama di Asia.

“Kami tidak terlalu memfokus kepada peningkatan saiz dana, tetapi paling utama sekarang adalah memberi kesedaran dan pemahaman kepentingan membuat pelaburan dalam kalangan Bumiputera.

“Jumlahnya dilihat memang meningkat, namun masih rendah dan disebabkan itu juga, I-VCAP tampil memperkenalkan ETF, dana patuh syariah pertama di Asia yang berstruktur sama seperti saham unit amanah,” katanya.

Menurutnya, pelabur akan menikmati pulangan maksima dalam pelaburan ETF kerana ia menawarkan kos urus niaga yang rendah di mana tiada caj jualan dikenakan dalam urus niaga.

Mahdzir berkata, semua dana ETF menunjukkan prestasi memberangsangkan terutama MyETF MSCI Malaysia Islamic Dividend (MyETF-MMID) mencatatkan jumlah pulangan harga pada 10.86 peratus bagi tahun kewangan 2015.

Beliau berkata, siri Dana MyETF juga terbukti menjadi pilihan pelaburan patuh syariah yang menarik kerana ETF ini menawarkan pengagihan pendapatan secara konsisten kepada pemegang unit serta mencatatkan kenaikan harga unit yang menggalakkan.

“Walaupun dana pasif, Siri Dana MyETF mampu memberikan prestasi membanggakan berbanding dengan produk seumpamanya di pasaran.

“Kami melihat minat terhadap ETF meningkat secara umumnya, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu pelabur memahami pilihan pelaburan ini,” katanya.

Pasaran ETF Malaysia mengalami pertumbuhan positif sebanyak 66 peratus dari segi jumlah dagangan keseluruhan, dengan 28.9 juta unit diniagakan di Bursa Sekuriti pada 2015 berbanding 17.4 juta unit pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 7:07 AM