SOO Wincci bersama tetamu yang hadir meraikan Tahun Baharu Cina di rumahnya.
SOO Wincci bersama tetamu yang hadir meraikan Tahun Baharu Cina di rumahnya.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Mengadakan rumah terbuka Tahun Baharu Cina buat pertama kali, juadah piza petai menjadi pilihan pelakon, penyanyi dan pensyarah, Dr Soo Wincci, 38, yang dihidangkan buat tetamu yang berkunjung ke kediamannya.

Wincci berkata, dia mengadakan sesi rumah terbuka itu selama seminggu dan memasak sendiri juadah buat mereka yang berkunjung.

"Lega akhirnya dapat buat rumah terbuka selepas sekian lama berhajat untuk berbuat demikian. Beberapa tahun kebelakangan ini, saya sibuk di luar negara dan kemudian disusuli pandemik Covid-19 pula.

"Saya sempat menjejak kasih dengan anggota kelab peminat saya, Winccist yang sudah lebih tujuh tahun tak berjumpa. Ia termasuk pelajar-pelajar saya serta rakan terdekat di mana setiap sesi dibuat begitu intim sekitar 15 orang saja.

"Saya masak sendiri dan sediakan juadah termasuk piza petai, yeesang buah-buahan, sup abalon cendawan dan macam-macam resipi hasil ciptaan sendiri," katanya.

Menurut Wincci, dia sempat pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak untuk meraikan sambutan kali ini bersama keluarga. Kebetulan dia turut mendapat undangan persembahan di sana.

"Sempat luangkan masa bersama keluarga di Ipoh tapi perlu ulang-alik ke Kuala Lumpur. Ini kerana banyak sangat komitmen yang perlu saya penuhi termasuk jemputan rancangan TV selain kerja-kerja sebagai pensyarah.

"Saya harap tahun ini adalah tahun penuh tuah untuk kembali membina kerjaya serta nama kukuh dalam setiap bidang saya ceburi. Ini kerana sudah beberapa tahun berada dalam fasa yang agak menyulitkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 1:09 PM