SOO Wincci. FOTO IG Soo Wincci
SOO Wincci. FOTO IG Soo Wincci
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan Penyanyi, Dr Soo Wincci, 36, mengakui sudah lali apabila terpaksa meraikan sambutan Tahun Baharu Cina seorang diri di perantauan.

Wincci yang kini melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) kedua dalam bidang Produksi Artistik di University of Polytechnic, Sepanyol berkata, dia memiliki cara tersendiri untuk menyambut perayaan itu bersama keluarga tercinta. 

"Sebenarnya, tahun ini saya ada merancang untuk pulang meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga. Tapi memikirkan pelbagai prosedur yang perlu dilalui, saya membuat keputusan untuk tidak balik.

"Bagaimanapun saya tetap menyertai makan besar bersama keluarga, tetapi hanya dilakukan secara maya saja. Bagi saya, tak kisah apa cara sekalipun, asalkan dapat berkumpul bersama keluarga, itu lebih bermakna, " katanya.

Menurut Wincci, dia mengakui pada awalnya keluarga agak berat hati untuk membenarkannya menyambung pengajian lagi memandangkan ingin melihat dia berkahwin. 

"Pada tahun pertama dan kedua, keluarga tidak menyokong serta membantah hasrat menyambung pengajian lagi. Jadi, mereka tidak pernah menjenguk saya di Sepanyol, tetapi sekarang sudah mula menerima.

"Sebenarnya keluarga tidak menyokong kerana mereka ingin melihat saya mendirikan rumah tangga. Namun, buat masa ini saya masih belum memikirkan soal jodoh," katanya.

Dalam pada itu, Wincci berkata dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk pulang ke Malaysia kerana bakal mengikuti latihan industri di Sepanyol.

"Saya mahu menjalani latihan industri kerana ingin menimba pengalaman di Sepanyol. Jadi, saya perlu tinggal di sini selama setahun dua lagi.

"Secara kebetulan sudah berada di Sepanyol, jadi saya tidak mahu siakan-siakan peluang yang ada. Saya ingin cuba menyertai pelbagai uji bakat di Sepanyol, tetapi sebelum itu, saya perlu menyelesaikan terlebih dulu kelas bahasa Sepanyol. Barulah mudah untuk saya menembusi pasaran muzik di sini," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 3:32 PM