REKAAN baharu untuk MotoGP 2016.
REKAAN baharu untuk MotoGP 2016.
UNGKAPAN ‘Nyalakan Nyali’ pada jentera berkenaan.
UNGKAPAN ‘Nyalakan Nyali’ pada jentera berkenaan.
BAHAGIAN tepi dengan pelekat sisi tampak kemas.
BAHAGIAN tepi dengan pelekat sisi tampak kemas.
PADANAN kotak gear baharu.
PADANAN kotak gear baharu.
PELEKAT bahagian sisi berbeza sedikit berbanding jentera tahun lalu.
PELEKAT bahagian sisi berbeza sedikit berbanding jentera tahun lalu.
Oleh Erywan Norshal


Sejak kembali dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada 2015, pasukan Suzuki Ecstar lebih bersedia untuk menghadapi persaingan itu yang bakal berlangsung pada bulan hadapan.

Biarpun tidak menaruh harapan tinggi dalam pencapaian pada tahun ini, pasukan yang dikendalikan oleh Pengurus Pasukan Suzuki Ecstar, Davide Brivio mahu memberi persaingan sengit kepada pasukan lain.

Brivio berkata, pihaknya kini berada dalam landasan terbaik dengan mengenal pasti kelemahan ketika MotoGP 2015.

“Kelemahan pada tahun lalu adalah faktor enjin, namun kini kami kembali dengan rangkaian kuasa bagi menyalurkan prestasi lebih baik.

“Ciri enjin ini adalah tidak terlalu agresif, tetapi ia lebih pantas. Selain itu, kami menggunakan kerangka baharu dan ia adalah yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi ujian rasmi pramusim di Litar Antarabangsa Sepang, pada minggu lalu.

Sebelum ini, pasukan perlumbaan Suzuki menarik diri daripada MotoGP penghujung 2011 bagi mengurangkan kos akibat kelembapan ekonomi global.

Namun tiga tahun kemudian, Suzuki Motor Corporation mengumumkan mereka akan menyertai MotoGP 2015 dengan dua pelumba baharu iaitu Aleix Espargaro dan Maverick Vinales yang kedua-duanya berasal daripada Sepanyol.

Brivio berkata, MotoGP 2016 juga memberi kelebihan kepada pasukannya apabila dipadankan kotak gear baharu yang sudah pun diuji pada November tahun lalu.

Menurutnya, penunggang pasukannya gembira menggunakan kotak gear itu dan ia memberi manfaat terutama pada penukaran gear tinggi atau rendah.

“Malah, cabaran utama MotoGP 2016 adalah penggunaan tayar Michelin berbanding tahun lalu adalah Bridgestone.

“Namun, kita akan melaraskan semula bagi memastikan tayar itu bersesuaian dengan kerangka terbaik yang dimiliki pasukan ini,” katanya.

Brivio amat yakin pasukannya mampu mengekori lebih rapat pesaing lain yang berada di tangga teratas.

“Pencapaian tahun kedua dalam MotoGP, kami mahu kemenangan tetapi ia sangat sukar. Impian kami cuma mahu bersaing lebih rapat dengan yang lain.

“Jika kita boleh bersaing dengan jenama Ducati, Honda dan Yamaha, ini bermakna peluang untuk menduduki podium akan menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, jentera perlumbaan pasukan Suzuki Ecstar tampil dengan sedikit pembaharuan pada bahagian luaran membabitkan pelekat bahagian sisi.

Malah, ia turut tertera perkataan bahasa Indonesia iaitu ‘Nyalakan Nyali’ (Semarakkan Keberanian) pada jentera berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:01 AM