QUARTARARO meraikan kejayaannya di pentas podium. FOTO AFP
QUARTARARO meraikan kejayaannya di pentas podium. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Fabio Quartararo mempamerkan tunggangan sempurna untuk memenangi Grand Prix (GP) Catalunya dan kemenangan ketiganya musim ini sekali gus kembali memimpin carta kelas MotoGP.

Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) itu melengkapkan 24 pusingan perlumbaan dengan catatan terpantas, 40 minit 33.176 saat mengatasi pelumba Suzuki Ecstar, Joan Mir di tempat kedua manakala rakan sepasukannya Mir, Alex Rins ketiga.

Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli yang bermula daripada petak pertama menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Quartararo kini mendahului carta keseluruhan pelumba MotoGP dengan 108 mata manakala Mir berada di tempat kedua dengan perbezaan lapan mata.

Pelumba pasukan utama Yamaha, Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales berada di tempat ketiga dengan 90 mata.

Andrea Dovizioso dari Ducati yang muncul pendahulu saingan MotoGP sebelum ini gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 10:29 PM