MIA.
MIA.
Oleh Michelle Gun

Sudah lama bintang cilik Mia Sara memasang niat mahu berhijab dan ia dapat direalisasikan selepas pulang mengerjakan umrah hujung tahun lalu.

Keputusan pelakon berusia 11 tahun itu mengundang pelbagai reaksi peminat malah ada berpendapat masih awal untuknya bertudung kerana belum baligh.

Bintang filem Strawberi & Karipap itu menegaskan niat untuk berubah datang dari hati dan bukan atas permintaan keluarganya.

Malah, Mia turut menjelaskan penghijrahan itu bukan disebabkan perniagaan tudung miliknya iaitu MS Couture yang dijual di atas talian.

“Saya ikhlas bertudung dan tiada siapa memaksa saya untuk berubah. Kini, saya berasa lebih tenang malah keputusan ini turut disokong keluarga dan rakan.

“Harap perihal perubahan imej ini tidak diperdebatkan peminat kerana saya berubah ke arah kebaikan dan bukan sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, perubahan itu mendatangkan banyak kebaikan malah dia tidak lagi diganggu rakan sekolah yang nakal.

“Rakan memuji saya malah hari pertama bertudung ke sekolah saya diserbu mereka.

“Begitu juga reaksi pengikut di laman sosial, mereka tidak mengkritik saya,” katanya.

Tak kisah kurang tawaran

Bagai dijangka, Mia mendedahkan tawaran lakonan semakin berkurangan sejak dia bertudung.

Akur dengan situasi itu, Mia percaya pasti ada rezeki lain untuknya sekiranya karier lakonan kian malap.

“Saya tidak terkilan kerana memahami kehendak produksi.

“Tak mengapalah, saya percaya dengan rezeki Allah. Walaupun tawaran berlakon semakin kurang, jualan tudung bertambah baik,” katanya.

Ujar Mia, dia ingin mengembangkan bakat sebagai pengacara dan berharap diberi peluang untuk menceburi bidang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 9:40 AM