KETUA Pegawai Eksekutif Mohd Fadillah Mat Said bersama Rozita Che Wan di majlis sidang media pelancaran kad SIM Glamor MyPrepaid edisi Rozita Che Wan.
KETUA Pegawai Eksekutif Mohd Fadillah Mat Said bersama Rozita Che Wan di majlis sidang media pelancaran kad SIM Glamor MyPrepaid edisi Rozita Che Wan.
Najiy Jefri

MELIHAT senario beberapa selebriti tempatan yang tidak lagi memakai tudung dengan pelbagai alasan, pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan enggan mengulas mengenai trend itu.

Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta berkata, dia berasa tidak layak membicarakan isu itu.

“Setiap individu berdepan ujian berbeza. Kadangkala kita sangka itu ujian untuk dia tetapi sebenarnya untuk diri kita, jadi saya tak boleh nak komen.

“Sebelum saya bertudung dulu, Zain teringin tengok saya bertudung. Namun keputusan untuk bertudung bukan disebabkan dia, sebaliknya atas kerelaan hati dan sudah sampai waktunya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kad Sim Glamor MyPrepaid Edisi Khas Rozita Che Wan baru-baru ini.

Tambah Che Ta, selepas beberapa tahun tampil bertudung, dia mengaku menyesal kerana mengambil masa lama memutuskan untuk bertudung.

“Saya bersyukur tiada cabaran hebat sepanjang bertudung malah tidak pernah terdetik membuka tudung.

“Cuma, apa yang saya kesal adalah lewat pakai tudung. Ini kerana kita tahu bertudung wajib bagi wanita dan akhirat itu kekal. Apa yang kita mahu kejar dalam dunia ini? Kita kumpul pahala untuk akhirat,” katanya.

Ditanya apa yang membuatkan dia kekal istiqamah untuk terus bertudung, Che Ta berkata, dia dikelilingi individu yang betul.

“Apabila saya mengambil langkah untuk berubah, saya sedar perlu mencari kawan yang betul. Ini kerana, saya tahu manusia hatinya lemah dan mudah terpengaruh.

CHE Ta jelaskan niat untuk berubah timbul atas kerelaan hati sendiri. FOTO: Zunnur Al Shafiq
CHE Ta jelaskan niat untuk berubah timbul atas kerelaan hati sendiri. FOTO: Zunnur Al Shafiq

“Saya sangat bertuah dikelilingi adik-beradik yang semuanya bertudung selain kami banyak menghabiskan masa bersama berkongsi mengenai agama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Ta berkata, dia kini lebih selesa bergiat aktif dalam bidang pengacaraan.

“Kerjaya pengacara lebih mudah dan tidak ambil masa lama. Kalau terbabit dengan drama, masa saya banyak dihabiskan di set penggambaran.

“Maka, kalau dapat tawaran pengacaraan yang sesuai dengan imej dan pengisian yang betul, saya pasti melakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 4:30 AM