Anne Abdullah
Anne Abdullah
Syafil Syazwan Jefri


 

Kuala Lumpur: Pelakon, Anne Abdullah, mengakui berdepan beberapa ujian selepas mula bertudung sejak pulang dari menunaikan umrah pada Disember tahun lalu. 

Anne, 50, berkata, dia diduga apabila tidak menerima tawaran lakonan selama enam bulan selepas bertudung, namun, menerima dengan hati terbuka dan reda. 

"Saya bertudung sejak balik dari umrah pada Disember tahun lalu, Alhamdulillah. Memang saya bertudung terus sejak dari itu. Tambahan pula, waktu itu juga selepas ulang tahun kelahiran ke-50 saya. 

"Sebenarnya, saya dah menyimpan niat dari tahun lalu. Cuma, ada beberapa penggambaran yang belum selesai, yang masih belum bertudung, jadi saya terpaksa habiskan semua kontrak itu. 

"Saya berdoa kepada Allah, semoga tak ada tawaran apa-apa (yang tidak bertudung). Memang Allah tak berikan apa-apa tawaran penggambaran, dah enam bulan," katanya kepada Harian Metro. 

Berkongsi mengenai ujian dan dugaan, Anne juga terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan yang memerlukannya untuk membuka tudung. 

"Selepas balik dari umrah memang tak ada tawaran. Tapi, memang ramai rakan-rakan yang beritahu saya, selalunya selepas kita bertudung, akan adalah ujian-ujian yang Allah bagi kepada kita, sebab nak tengok sama ada kita sabar dan istiqomah atau tidak. 

"Ujian memang banyak antaranya, bila orang tawarkan kerja lakonan, mereka nak saya lakonkan watak yang tak bertudung. Saya minta maaf kepada mereka sebab saya terpaksa lepaskan tawaran itu. 

"Saya kena betul-betul istiqomah. Kawan-kawan keliling kita pun, biasalah, ada juga yang cadangkan (tak bertudung). Tapi, semuanya atas diri kita sendiri, buat kerana Allah. Itu perjanjian kita dengan Allah. Saya pun tak mahu cakap lebih-lebih sebab hati kita boleh berbolak balik. Jadi, kita jangan cakap lebih-lebih. 

"Perubahan yang saya rasakan, rasa lebih tenang. Jiwa rasa sangat tenang dan tak terlalu serabut macam sebelum ini. Kalau tak ada tawaran kerja lakonan pun, kita serabut dulu. Sekarang, lebih relaks," katanya. 

Terbaharu, Anne akan mula menjalani penggambaran filem seram berjudul Bukit Fraser. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 10:40 PM