Anne Abdullah
Anne Abdullah
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Tampil berhijab sebaik sahaja mencecah usia 50 tahun, pelakon Anne Abdullah enggan menghakimi rakan industri yang memilih untuk tidak lagi bertudung.

Anne berharap dirinya kekal istiqamah menutup aurat dan mengakui rakan pergaulan turut memainkan peranan penting dalam hal berkenaan.

"Masing-masing ada ujian sama ada orang itu boleh terima ujian itu atau tidak. Kita ni, Allah boleh bolak balikkan hati kita. Jadi tak mahu cakap lebih-lebih.

"Kepada artis-artis yang dah bukak hijab tu, saya doakan semoga mereka istiqamah dan diberikan hidayah. Sebab bila kita berhijab ni, diri harus kuat tau kerana banyak dugaan datang.

"Sama ada anda kuat atau tidak kuat untuk melalui benda ini. Sebenarnya kita berserah pada Allah. Namun persekitaran kita penting sebenarnya, terutama sekali 'circle' kita itu penting.

"Ini supaya kita lebih kuat dalam menuju kebaikan. Bila dah umur macam ini, kita mahu ke arah kebaikan. Orang tak tengok kita dulu, orang tengok pengakhiran kita. Jadi saya doakan kepada semua yang mana berhijab, agar diberikan hidayah," kata Anne.

Pelakon drama rantaian 7 Hari Mencintaikuitu tampil berhijab selepas menunaikan ibadah umrah pada Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut imej baharunya itu, Anne memaklumkan niat bertudung sudah lama timbul, namun terpaksa ditangguhkan demi tuntutan kerja.

"Daripada tahun lepas saya simpan niat nak pakai tudung. Cuma, masa itu saya ada projek drama di mana wataknya tak bertudung.

"Selepas selesai semuanya dan sekembalinya saya mengerjakan umrah pada Disember lalu, saya terus nekad untuk kekal berhijab.

"Niat ini juga sempena usia yang menginjak 50 tahun. Sejak bertudung, saya banyak dapat tawaran bawa watak ustazah. Alhamdulillah, rezeki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 3:50 PM