AZHARINA masih dalam proses pembelajaran dan berubah secara perlahan-lahan. FOTO Ihsan Azharina
AZHARINA masih dalam proses pembelajaran dan berubah secara perlahan-lahan. FOTO Ihsan Azharina
Sudirman Mohd Tahir


"SELEPAS dimasukkan ke wad dan keluar hospital baru-baru ini, saya berasakan sudah sampai waktu diri ini berubah ke arah yang lebih baik," kata penyanyi, Azharina Azhar yang kini tampil berhijab.

Azharina, 34, berkata, dia melakukan penghijrahan itu dengan mula memakai selendang sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Azharina yang popular menerusi lagu Elegi Sepi berkata, dia masih dalam proses pembelajaran dan berdoa semoga terus istiqamah dalam pemakaian tudung.

"Kalau saya berkongsi sebab apa penghijrahan ini, nanti orang fikir apa pula. Cukup untuk saya katakan, ketika ditimpa sakit baru-baru ada perkara lain berlaku dalam diri. Ia cukup menginsafkan hingga menyedarkan saya betapa besarnya nikmat Allah SWT.

"Sejak itu, saya mula kuatkan hati dan belajar memakai selendang terlebih dulu. Saya juga mula membeli anak tudung dan belajar mengenakan tudung dengan sempurna.

"Kalau orang tanya adakah sudah bertudung penuh, saya boleh katakan masih dalam proses pembelajaran dan berubah secara perlahan-lahan. Semoga apa yang dibuat ini memberikan manfaat serta kebaikan untuk diri sendiri dan orang lain," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, keputusan dibuat itu bukan atas desakan atau pengaruh mana-mana pihak, sebaliknya ia untuk kebaikan diri sendiri.

"Niat untuk bertudung sudah lama. Tapi saya takut sebelum ini. Apatah lagi saya banyak menyanyi pada acara korporat. Jadi, saya tangguhkan niat ini dulu.

"Sekarang, saya memakai tudung datangnya daripada diri sendiri dan kerana Allah SWT. Bukan sebab apa atau siapa. Ia juga untuk kebaikan dua anak saya," katanya.

Ditanya sama ada imej terbaru itu bakal disaksikan pada Konsert Azharina Queen of Soul pada 29 Jun ini, Azharina memohon doa yang terbaik untuknya.

"Insya-Allah, saya sentiasa berdoa dan segalanya baik saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 2:43 PM