Oleh Ferzalfie Fauzi

Georgetown: Ada perkara yang menyenangkan hati, ada yang perlu diperbaiki.

Rumusan mudah Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen (gambar, kiri) sebaik berakhir Grand Prix Emas Masters Malaysia di Arena SPICE kelmarin.

Menurut Frost, semua pemain negara terutama yang bernaung di bawah BAM sudah memberikan yang terbaik dan tiga perlawanan akhir membabitkan pemain tempatan memang amat dinantikan peminat.

“Sebenarnya ia boleh dianggap cemerlang apabila melihat muka baru menonjolkan diri (Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin). Ini menunjukkan kita masih mempunyai pemain pelapis berpotensi,” katanya.

Jelasnya, kerja keras dan dedikasi pemain serta jurulatih menyebabkan beberapa pemain mampu mencuri tumpuan kali ini seterusnya membuktikan idea baru yang diterapnya semakin diterima.

“Memang ada yang tidak boleh ikut cara saya tapi saya rasa ia perkara biasa. Kami dalam BAM sentiasa bekerja dengan suasana positif dan cuba untuk mempertingkatkan diri dari segenap sudut.

“Bagaimanapun kita harus sedar beraksi di dalam berbanding luar negara amat berbeza. Bermain di luar negara bukan mudah, kalau kejohanan di sini pemain akan mendapat sokongan, berada dalam keadaan selesa, memperoleh makanan yang diinginkan dan semuanya sudah tersedia.

“Ia lebih sukar buat pemain apabila berkunjung ke Korea Selatan, London atau di mana saja. Sekarang kita harus fikir bagaimana untuk melangkah ke depan, membawa ramai pemain untuk cuba beraksi cemerlang di luar,” tegasnya.

Menurut Frost, beliau bukan hanya mahu mengekalkan rentak cemerlang seperti itu tetapi selepas ini meletakkan sasaran supaya dapat membuktikan sesuatu yang lebih luar biasa.

“Itu yang dapat kita lihat dari sudut yang menyinar, namun kita harus terima dan akui dua beregu wanita utama, Vivian Hoo-Woon Khe Wei serta Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho tidak beraksi seperti diharapkan.

“Amelia dan Fie Cho memang berdepan tugas sukar di pusingan pertama tapi cara mereka tewas tidak boleh diterima. Vivian-Khe Wei melepaskan peluang terbaik untuk pergi lebih jauh tapi cara mereka tersingkir juga mengecewakan,” ujar Frost.

Legenda badminton Denmark itu berharap kedua-dua pasangan berkenaan masih mampu berjuang tatkala tempoh kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016 semakin suntuk.

Sementara itu, Frost berasakan persaingan merebut slot antara pasangan BAM, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bersama pemain bebas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi semakin menarik.

“Saya pasti dua pasangan ini akan berusaha keras setiap hari untuk mencari keputusan terbaik. Sekalung tahniah buat Kien Keat-Boon Heong yang beraksi cemerlang di kejohanan ini hingga mara ke perlawanan akhir.

“Saya mahu lihat V Shem-Wee Kiong kembali bangkit walaupun persaingan sekarang semakin rancak, jika Kien Keat-Boon Heong layak ke Rio saya ucapkan tahniah kepada mereka, dalam masa sama kita harus terima beregu BAM tidak cukup bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 10:00 AM