VIVIAN (kanan) dan Khe Wei ungguli pusingan kedua.
VIVIAN (kanan) dan Khe Wei ungguli pusingan kedua.

Kuala Lumpur: Gandingan beregu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei tidak berdepan masalah mara ke suku akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka Thailand 2015 apabila memenangi pusingan kedua semalam.

Vivian-Khe Wei yang juga pilihan kedua kejohanan mengalahkan pasangan Hong KongChan Tsz Ka-Yuen Sin Ying 21-17, 21-13 dalam tempoh 31 minit di Thunder Done, Muangthong Thani.

Menanti mereka di suku akhir wakil Korea Selatan Go Ah Ra-Yoo Hae Won yang menumpaskan Apriani Rahayu-Jauza Fadhila Sugiarto 21-16, 21-10.

Menurut Vivian, walaupun mereka mencatat kemenangan straight set masih banyak lagi kelemahan yang harus diperbaiki terutama dari segi kombinasi serangan.

“Hari ini (semalam) kami tidak bermain baik seperti semalam (kelmarin), tapi bernasib baik mampu menang dan mara ke suku akhir,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Satu lagi beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho turut ke suku akhir apabila mengalahkan Komala Dewi-Vita Marissa dari Indonesia, 21-16, 21-15 dan mereka akan berdepan Chang Ye Na-Lee So Hee (Korea Selatan).

Sebelum itu Ye Na-So Hee menumpaskan pasangan negara, Lim Yin Loo-Lee Meng Yean 21-15, 21-10.

Turut mara ke suku akhir ialah beregu lelaki negara, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han yang mengejutkan pilihan kelapan dari China Wang Yilv-Zhang Wen 21-19, 14-21, 21-15. Mereka akan bertemu rakan senegara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Kien Keat-Boon Heong mara selepas mengalahkan pasangan tuan rumah, Thaptimdong Arkornnit-Boonyakorn Thumpanichwong 21-16, 21-16.

Perseorangan wanita, Tee Jing Yi berjaya melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan pemain tuan rumah yang juga pilihan ketujuh, Porntip Buranaprasertsuk 21-19, 19-21, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 7:55 AM