Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen tampil mempertahankan keupayaan pemain beregu lelaki walaupun kelmarin Datuk Seri Jalani Sidek lebih yakin dengan kemampuan pasangan bebas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Menurut Frost, mereka dalam proses penstrukturan semula bahagian berkenaan termasuk dari segi gandingan pemain dan juga kejohanan bakal disertai.

“Kami akan cuba memperkuatkan pasangan kedua negara (Chooi Kah Ming-Ow Yao Han) termasuk menghantar mereka ke kejohanan seperti Cabaran Antarabangsa dan Grand Prix,” katanya dalam sidang media di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Kelmarin, Jalani lebih yakin bekas pemain BAM Kien Keat-Boon Heong mampu menjadi gandingan nombor satu negara ketika pemain badan induk itu dilihat kurang mantap.

Bagaimanapun, Frost yakin jika anak buahnya terutama pemain muda mampu beraksi cemerlang dalam kejohanan lebih kecil berbanding Siri Super Premier dan Siri Super.

“Kini jika ingin beraksi di kejohanan besar (Siri Super Premier dan Siri Super) mereka harus melalui pusingan kelayakan terlebih dulu.

“Biar mereka mengumpul mata di kejohanan seperti Cabaran Antarabangsa, supaya selepas ini tidak perlu melalui pusingan kelayakan,” katanya.

Bekas pemain perseorangan Denmark itu memerlukan 12 bulan untuk sekurang-kurangnya tiga beregu lelaki negara berada dalam ranking 16 terbaik dunia.

“Saya rasa ini satu cabaran bukan saja buat pemain, malah jurulatih (Jeremy Gan dan Pang Cheh Chang). Jangka pendek atau panjang kita perlu tunggu keputusannya nanti,” katanya.

Selain Kah Ming-Yao Han, dua lagi pasangan pelapis di belakang Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu utama) ialah Teo Kok Siang-Mak Hee Chun dan Tan Wee Gieen-Teo Ee Yi.

Frost turut memuji aksi beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang berjaya mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Master China 2015 minggu lalu.

“Mereka berjaya memberi tekanan kepada beregu China di separuh akhir walaupun tewas. Kami begitu gembira dan melihat kedua-dua pasangan ini mampu berada di ranking 10 terbaik dunia pada masa akan datang,” kata Frost yang turut mengumumkan pemain perseorangan negara, Tan Kian Meng bakal diserap ke skuad beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 8:19 AM