KIEN Keat (kiri) dan Boon Heong menang dalam tempoh 23 minit.
KIEN Keat (kiri) dan Boon Heong menang dalam tempoh 23 minit.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur

Gandingan veteran negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terus mempamerkan bisa mereka apabila melangkah ke separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka Thailand selepas menewaskan rakan senegara Ow Yao Han-Chooi Kah Ming di suku akhir semalam.

Ternyata faktor pengalaman memisahkan kedua-dua beregu negara itu selepas menyaksikan Kien Keat-Boon Heong yang juga bekas beregu utama negara, mencatatkan kemenangan mudah 21-17, 21-11 dalam tempoh 23 minit.

Menariknya, hanya mereka berdua satu-satunya wakil negara yang akan beraksi pada saingan separuh akhir hari ini selepas semua wakil negara terkandas semalam.

Pada aksi separuh akhir hari ini, Kien Keat-Boon Heong akan bertemu pilihan kedua dari Indonesia Angga Pratama-Ricky Karanda Suwardi yang menewaskan Takuto Inoue-Yuki Kaneko 21-15, 21-7.

“Mungkin mereka (Yao Han-Kah Ming) kurang pengalaman untuk kawal pukulan yang menyebabkan mereka tewas.

“Apapun kami sudah melangkah ke separuh akhir dan hanya mahu fokus perlawanan esok (hari ini). Sudah tentu kami mahu melakukan yang terbaik,” kata Boon Heong.

Pada perlawanan semalam, beregu wanita negara Amelia Alicia Ancelly-Soong Fie Choo, tewas 20-22, 18-21 kepada gandingan Korea, Chang Ye Na-Lee So Hee.

Sementara itu pilihan kedua kejohanan, Vivian Hoo-Woon Khe Wei turut tewas 21-19, 11-21, 16-21 kepada satu lagi pasangan Korea, Go Ah Ra-Yoo Hae Won.

Perseorangan wanita negara Tee Jing Yi juga gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas mudah 11-21, 11-21 kepada pilihan kedua dari Korea Sung Ji Hyun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:08 AM