PELAN pengesanan awal kusta sedang dibangunkan untuk cegah pesakit kanak-kanak jadi cacat.
PELAN pengesanan awal kusta sedang dibangunkan untuk cegah pesakit kanak-kanak jadi cacat.
KUSTA yang dianggap penyakit kuno masih menjadi masalah kesihatan penduduk dunia kerana menyebabkan kecacatan kekal.
KUSTA yang dianggap penyakit kuno masih menjadi masalah kesihatan penduduk dunia kerana menyebabkan kecacatan kekal.
STIGMA masyarakat menyebabkan pesakit kusta di seluruh dunia terus hidup terasing.
STIGMA masyarakat menyebabkan pesakit kusta di seluruh dunia terus hidup terasing.
KEMUNCULAN pesakit kusta kanak-kanak menandakan penyakit ini sedang merebak.
KEMUNCULAN pesakit kusta kanak-kanak menandakan penyakit ini sedang merebak.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Kusta yang dikelaskan sebagai penyakit paling kuno masih bertahan sampai hari ini. Jutaan orang di seluruh dunia hidup menderita kerana penyakit ini dan setiap tahun puluhan ribu kes baru direkodkan.

Walaupun kusta memberi kesan yang menggerunkan kerana ia ‘memakan’ saraf yang mengakibatkan pesakitnya cacat seumur hidup, tetapi dengan usaha bersungguh-sungguh di samping mempunyai dana mencukupi, penyakit ini boleh dihapuskan.

Kusta diletakkan sebagai penyakit tertua yang diketahui di dunia dan kali pertama ia direkodkan adalah pada 600 Sebelum Masihi (SM) apabila kebanyakan kes berlaku pada kelompok miskin dan terpinggir. Jika tidak diberikan rawatan sewajarnya, kusta boleh menyebabkan kecacatan kekal.

Walaupun jumlah kes menyusut banyak daripada 5.2 juta pada 1985 kepada 210,000 kes setahun lalu, kita tidak boleh menarik nafas lega lagi kerana penyakit ini masih wujud di lebih 100 negara. Kebanyakan kes direkodkan di India, Brazil dan Indonesia.

“Langkah terakhir ini adalah yang paling sukar dan mahal, apabila ia memerlukan paling banyak inovasi dan sumber kewangan,” kata ketua di Yayasan Novartis, Ann Aerts.

Sejak puluhan tahun lalu Yayasan Novartis sudah menjalankan pelbagai program membasmi kusta dan kini menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengurangkan penyebaran penyakit berkenaan.

“Ya, masa yang diambil memang lama, tetapi kita tidak boleh berputus asa...kita sudah hampir sampai ke sasaran,” kata Aerts.

Banyak inisiatif yang sudah diambil antaranya WHO memberikan rawatan percuma di seluruh dunia sejak 1995. Pada permulaannya rawatan percuma ini disalurkan melalui Nippon Foundation dan sejak tahun 2000 ia diberikan melalui syarikat farmaseutikal Novartis dan Yayasan Novartis.

Pada tahun 2000, ketika jumlah kes merosot iaitu kurang daripada satu kes bagi setiap 10,000 orang, WHO mengisytiharkan bahawa kusta bukan lagi menjadi penyakit yang mengancam kesihatan umum. Pengisytiharan itu secara tidak langsung menyebabkan komitmen politik dan kewangan bagi terus mengekang penyakit ini berkurang, kata Aerts.

“Dengan itu juga kami melihat kadar pengesanan penyakit kusta turun mendadak. Bagaimanapun ia bukan bermakna penyebaran penyakit berkurangan dalam tempoh itu tetapi ia kurang dilaporkan atau dikesan,” tambahnya.

Diagnosis boleh ambil masa 20 tahun

Kusta adalah penyakit jangkitan bakteria yang boleh sembuh dengan rawatan kombinasi tiga ubat. Tetapi ia hanya boleh dikesan dengan kemunculan simptom yang dapat dilihat dan proses ini (kemunculan simptom) boleh mengambil masa sehingga 20 tahun.

Bakteria penyebab kusta tersebar melalui titian cecair badan daripada mulut dan hidung, selepas selalu bersentuhan dengan pesakit. Antara cara untuk menghentikan penyakit ini daripada terus merebak ialah mengesan semua individu yang bersentuhan dengan pesakit dan memberikan mereka rawatan pencegahan.

Apa yang menyedihkan ialah kusta tidak datang sendirian. Sejak berkurun lamanya, ia sentiasa diiringi oleh stigma masyarakat yang takut hendak tampil untuk membantu. Malah, ramai juga keberatan membenarkan petugas kesihatan menghubungi kawan dan jiran mereka untuk diberikan rawatan pencegahan.

Pesakit yang mengalami kecacatan akibat kusta pula lazimnya diasingkan oleh keluarga dan kehilangan pekerjaan. Jika pesakit itu wanita, peluang untuknya berkahwin amat nipis jika diketahui dia menghidap kusta, kata Aerts.

Berita baiknya, jumlah pesakit wanita jauh lebih rendah berbanding lelaki. Menurut laporan WHO pada 2014, daripada jumlah kes baru yang dilaporkan hanya 36 peratus membabitkan wanita.

Daripada kes baru itu, kira-kira 10 peratus terdiri daripada pesakit kanak-kanak dan WHO kini sedang merancang strategi bagi memperbaiki kaedah pengesanan awal untuk dilaksanakan menjelang 2020. Pelan ini diharap dapat mencegah semua kanak-kanak yang dijangkiti bakteria kusta daripada mengalami kecacatan.

“Pesakit kusta kanak-kanak tidak berpeluang memperbaiki hidup mereka. Kehidupan mereka dimulakan dalam pengasingan kerana kanak-kanak ini sudah kehilangan jari atau tidak boleh menutup mata (penyakit kusta turut memamah kelopak mata). Anda boleh lihat penderitaan yang mereka alami kerana penyakit tidak dikesan awal,” kata Aerts.

Pesakit kusta dewasa pula mungkin mendapat jangkitan bertahun-tahun lamanya sebelum penyakit mereka dikesan. Kehadiran pesakit kusta kanak-kanak menandakan penyakit itu sedang merebak sekarang.

“Keadaan ini sangat membimbangkan kerana ia sedang berlaku. Inilah yang menjadi penggerak untuk kami menjalankan pemeriksaan supaya pesakit boleh dikesan awal dan seterusnya mengurangkan jumlah kanak-kanak yang menjadi mangsa kusta. Jika ini dapat dijalankan, kita secara tidak langsung boleh memperlahankan penyebaran bakteria kusta,” katanya. - Thomson Reuters Foundation.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 10:30 AM