OLADELE antara bekas pesakit kusta yang kini bekerja sebagai pendandan rambut.
OLADELE antara bekas pesakit kusta yang kini bekerja sebagai pendandan rambut.
KES penyakit kusta masih banyak di Benin.
KES penyakit kusta masih banyak di Benin.

Kala penduduk dunia menganggap kusta sudah pupus, Folahan seorang daripada 200 penduduk Benin di Afrika masih mendapat jangkitan penyakit kuno ini setiap tahun.

Dia tiba di pusat saringan kusta di bandar Pobe, di timur Benin dengan wajah yang dipenuhi nodul atau bonjol kecil. Nodul itu ialah gejala kepada jangkitan kusta yang dialaminya.

Melihat keadaan wanita petani itu, doktor segera memberikannya ubat. Jika Folahan mengambil ubat itu secara teratur selama 12 bulan dan tidak mengalami sebarang kesan sampingan, dia boleh sembuh sepenuhnya.

Kusta dikategorikan sebagai penyakit zaman silam yang menyimpan pelbagai kisah duka. Meskipun kebanyakan negara sudah diisytiharkan bebas daripada kusta, penyakit ini masih menyerang lebih 210,000 orang di seluruh dunia setiap tahun.

Penyakit kusta yang menyerang kulit dan saraf boleh menyebabkan kerosakan kekal pada tangan, kaki dan mata. Bakteria penyebab kusta yang dipanggil Mycobacterium leprae boleh menjangkiti individu yang berhubung rapat dengan pesakit khususnya dalam kalangan penduduk miskin.

Disebabkan keadaan Folahan itu, kini anaknya yang berumur empat tahun diletakkan di bawah pengawasan rapi.

Pada 2000, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan kusta, penyakit yang sudah ribuan tahun wujud di muka bumi ini, bukan lagi menjadi ancaman kepada kesihatan umum apabila kadar jangkitannya kurang daripada satu kes bagi setiap 10,000 orang.

“Memang benar jumlah pesakit yang dijangkiti kusta tidak seramai pesakit malaria. Tetapi di sini (Benin), 25 peratus daripada kes yang dikesan sudah sampai ke peringkat serius dan menyebabkan kecacatan,” kata Presiden Persatuan Kusta Antarabangsa (ILA) Dr Roch Christian Johnson yang pulang melawat negara kelahirannya kepada wartawan AFP.

Benin ialah sebuah negara kecil di barat Afrika. Namun di negara yang kecil inilah 150 hingga 200 kes kusta baru direkodkan setiap tahun dan 10 peratus pesakit terdiri daripada kanak-kanak. Angka ini tidak berubah sejak sedekad lalu.

RAWATAN PERCUMA

Pusat saringan di tengah bandar Pobe itu dibina oleh Yayasan Raoul Follereau di tapak bekas koloni kusta dan menerima kira-kira 20 pesakit setiap tahun sejak 2000.

Pobe yang terletak tidak jauh dari sempadan Nigeria - negara paling padat penduduk di Afrika - merekodkan 4,000 kes kusta setiap tahun.

“Isu yang paling besar ialah pesakit biasanya datang terlalu lewat apabila luka mereka sudah menjadi gangren,” kata penyelia pusat saringan berkenaan, Thierry Gateau. Gangren ialah keadaan apabila sebahagian besar tisu tidak mendapat bekalan darah. Kulit pada bahagian ini menjadi hitam dan busuk.

Pesakit kusta biasanya terdiri daripada petani seperti Pascal Boton, yang tidak mendapat diagnosis awal dan sudah cacat anggotanya.

“Jururawat datang memberikan saya ubat tetapi selepas itu mereka tidak datang lagi,” katanya.

Tanpa rawatan yang teratur, gejala kusta tidak akan hilang.

Menurut doktor dari Perancis, Dr Annick Chauty yang sudah 15 tahun bertugas di Pobe, kusta ialah isu yang sensitif.

“Di sini, kusta dikaitkan dengan sumpahan. Jadi kami terpaksa berpura-pura menjalankan kajian penyakit kulit,” katanya.

“Kusta dianggap penyakit yang disebabkan oleh nasib buruk,” kata Ambroise Adeye, pakar bedah yayasan berkenaan dan bertugas di hospital kerajaan.

Pesakit kusta biasanya mendapatkan rawatan tradisional terlebih dulu yang menyebabkan keadaan bertambah buruk. Mereka kemudian berusaha mengumpul wang semula untuk membayar khidmat nasihat perubatan.

Namun, rawatan kusta yang membabitkan tiga siri antibiotik, diberikan secara percuma di semua klinik percuma di seluruh Benin.

Bagi menyebarkan maklumat ini, kementerian kesihatannya menjalankan Program Melawan Kusta Kebangsaan dengan membuat hebahan melalui stesen radio komuniti dan mengadakan pelbagai aktiviti kesedaran lain.

BASMI KEMISKINAN, BASMI KUSTA

Dulu kehidupan pesakit kusta di Benin juga menyedihkan. Sudahlah mereka bersedih kerana penyakit itu menyebabkan kecacatan, rumah pula dirobohkan oleh penduduk yang menganggap pesakit terkena sumpahan. Bahkan ladang mereka juga dirosakkan. Ramai pesakit kusta wanita dihalau dari rumah sendiri.

Bagaimanapun, keadaan kini sudah berubah. Oladele, tukang gunting rambut berusia 24 tahun contohnya ialah bekas pesakit kusta. Sudah tiga tahun dia bebas daripada penyakit itu. Satu-satunya ‘tinggalan’ kusta pada dirinya ialah pada jarinya yang bengkok.

“Saya tidak mahu lagi kembali bekerja di ladang. Pusat ini menawarkan latihan kemahiran dan saya pilih dandanan rambut,” kata pemuda bertubuh kurus itu.

Dia bertuah kerana mempunyai majikan yang baik dan sentiasa memberikan sokongan.

Malah keluarganya juga memberi galakan dengan menanggung perbelanjaannya sepanjang tempoh dia menjalani latihan. Apabila tidak cukup wang, wakil yayasan akan datang memberikan bantuan dan membayar kos rehabilitasi (pemulihan).

“Penerimaan masyarakat kini jauh lebih baik, tetapi pesakit dan bekas pesakit kusta masih memerlukan bantuan.

“Memang boleh untuk menjadikan kusta sebagai sejarah silam tetapi dengan satu syarat. Sesebuah negara itu perlu membangun dan menangani isu kemiskinan. Kusta adalah penyakit yang berkait rapat dengan kemiskinan,” kata Gateau. -Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:45 AM