LELAKI mendukung kanak-kanak di luar hospital kanak-kanak di Beijing. FOTO Reuters.
LELAKI mendukung kanak-kanak di luar hospital kanak-kanak di Beijing. FOTO Reuters.
Agensi

Beijing: Penyakit pernafasan dan radang paru-paru (pneumonia) yang tidak didiagnosis semakin meningkat di China, menurut Persatuan Penyakit Berjangkit Antarabangsa.

Dalam laporannya pada Selasa, persatuan itu berkata, hospital kanak-kanak di Beijing dan utara Liaoning sesak dengan kes seperti radang paru-paru yang 'tidak dapat ditentukan' dipercayai berpunca daripada jangkitan bakteria.

Laporan itu yang memperinci butiran daripada berita FTV News berpangkalan di Taiwan, menyatakan ramai pesakit dirawat di Hospital Kanak-Kanak Beijing.

Seorang penduduk dipetik berkata, "ramai kanak-kanak menerima rawatan di hospital. Tidak ada batuk, mereka tidak menunjukkan simptom pneumonia tetapi alami demam panas dan keradangan pada saluran pernafasan."

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan sudah meminta maklumat rasmi daripada China mengenai kes berkenaan.

Mycoplasma pneumonia, jangkitan bakteria atipikal sudah merebak ke seluruh dunia sejak 2015 tetapi jangkitan menurun selepas langkah pencegahan diambil terhadap pandemik Covid-19 dari 2019 dan seterusnya.

Kemunculan semula penyakit itu yang dirawat dengan ubat antibiotik, berkemungkinan dikaitkan dengan peningkatan rintangan antibiotik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 3:50 PM