Kesan penyakit kusta. FOTO Saddam Yusoff
Kesan penyakit kusta. FOTO Saddam Yusoff
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Kesihatan akan mengesan secara aktif kes kusta dalam kalangan golongan berisiko bagi membendung penyakit itu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, melalui pengesanan itu pihaknya dapat memberikan rawatan dan mengurangkan kecacatan kekal akibat penyakit berkenaan..

Katanya, ia secara tidak langsung mampu mengurangkan beban dan penularan kusta dalam komuniti berisiko.

"Kontak rapat kusta khususnya dalam kalangan kanak-kanak adalah di antara golongan yang berisiko dan perlu diberi perhatian.

"Komuniti dan individu yang dibebani kusta perlu bekerjasama dengan mematuhi arahan yang diberi oleh anggota kesihatan terutama di dalam menjalani aktiviti saringan dan rawatan susulan.

"Stigma dan diskriminasi adalah antara permasalahan yang masih dihadapi oleh pesakit dan keluarga mereka.

"Berikutan itu pesakit dan kontak rapat mereka bukan sahaja enggan kelihatan hadir di klinik, malah enggan disaring dan diberi rawatan," katanya dalam kenyataan sempena Hari Kusta Sedunia yang disambut pada Ahad terakhir di bulan Januari setiap tahun.

Sehubungan dengan itu, Dr Noor Hisham menyeru setiap anggota kesihatan dan pemimpin masyarakat untuk membabitkan diri dalam mewujudkan kesedaran mengenai penyakit kusta khusus kepada komuniti di lokaliti endemik yang berisiko tinggi.

"Antaranya mengadakan kegiatan advokasi yang diiringi aktiviti pengukuhan diagnostik, rawatan, latihan dan kebajikan pesakit itu akan menjadikan kawalan Kusta lebih mantap dan lengkap.

"Sama-samalah kita berusaha untuk membasmi atau menipiskan stigma dan diskriminasi yang diyakini menjadi salah satu punca kepada penularan kusta dalam kalangan keluarga dan komuniti di lokaliti endemik di Malaysia.

"Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk memperkukuhkan semua aktiviti kawalan dan pencegahan dalam setiap aspek di bawah Program Kawalan Kusta Kebangsaan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kusta adalah sejenis penyakit berjangkit kronik yang berpunca daripada jangkitan bakteria yang dinamakan Mycobacterium Leprae dan ia boleh dijangkiti melalui udara dan bukan melalui sentuhan.

Katanya selain kulit, kusta turut menyerang saraf periferal, mata dan tisu-tisu di saluran pernafasan, selaput dalaman hidung dan testis.

"Tanda-tanda seseorang dijangkiti kusta adalah lesi (lesion) yang tidak gatal di kulit yang berwarna putih seakan-akan panau salap atau berwarna merah tembaga yang bersisik.

"Ada juga yang menunjukkan penebalan kulit terutamanya di bahagian bulu kening yang menipis atau gugur, tulang pipi dan telinga.

"Manakala serangan di saraf periferal pula akan menyebabkan kelemahan otot dan kecacatan kekal di jari (claw hand), kaki (foot drop), berasa kebas atau hilang deria sentuhan di lesi kulit (anesthetic skin lesion)," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham Malaysia mencapai tahap eliminasi kusta pada tahun 1994 iaitu dengan kadar prevalen 0.9 kes bagi setiap 10,000 penduduk.

"Untuk rujukan, sasaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kurang dari satu kes bagi setiap 10,000 penduduk.

"Berdasarkan pencapaian dalam tempoh lima tahun, Malaysia melaporkan antara 198 hingga 213 kes baharu dengan kadar insiden kes Kusta di antara 0.57 hingga 0.62 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

"Selain itu kadar prevalen pula antara 0.02 hingga 0.14 kes bagi setiap 10,000 penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 11:01 AM