MUAR City meraikan kejayaan muncul juara.
MUAR City meraikan kejayaan muncul juara.
Oleh Aida Adilah Mat

Genting Highlands: Kelab Badminton Muar City (Muar City BC) mencipta kejayaan gemilang apabila melakar kejuaraan berganda musim ini selepas muncul juara Cabaran Juara-Juara di sini semalam.

Selepas mempertahankan kejuaraan Purple League minggu lalu, Muar City mempamerkan semangat juang tinggi bangkit daripada ketinggalan 4-8 sebelum menewaskan Puchong United 10-8.

Pengurus Muar City Huan Woo Han berkata, kejayaan itu dianggap pencapaian menakjubkan dan ia sebagai bukti kepada semua bahawa mereka mampu melakukannya.

“Ia satu kemenangan yang cukup menggembirakan. Kami buktikan kami boleh biarpun berdepan cabaran sengit daripada lawan.

“Terima kasih kepada semua, jurulatih, pemain dan penyokong yang hadir memberi sokongan hingga kami boleh bangkit daripada ketinggalan selepas tiga perlawanan untuk menang,” katanya.

Muar City mempertaruhkan Lee Hyun Il sebagai perseorangan pertama tewas kepada Liew Daren 11-4, 6-11, 7-11, 6-11.

Rusydina Antardayu turun pada perlawanan kedua tewas di tangan Ayumi Mine 7-11, 5-11, 6-11 sebelum beregu campuran Han Sang Hun-Lee Hyo Jung melakar kemenangan dalam pertarungan lima set menewaskan lawan Cheng Wen Hsing-Yew Hong Kheng 11-9, 10-11, 11-9, 6-11, 11-6.

Gandingan Chow Pak Chuu-Tan Bin Shen memulakan kebangkitan Muar City apabila menewaskan Ow Yao Han-Victor Ong Jing Khai 11-8, 11-2, 11-7 dan Tan Chun Seang mengesahkan kemenangan apabila menundukkan Syed Akhbar Shah S Mustakim 11-8, 11-6, 11-2.

Woo Han berkata, kejohanan itu dilihat mampu berkembang dan ia platform paling sesuai mencungkil lebih ramai pemain berbakat untuk diketengahkan terutama dalam usaha negara mencari pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:06 AM