AKSI pemain beregu  Muar  City BC Lee Yong Dae (kiri) dan Tan Wee Kiong ketika menentang pasangan Puchong United BC.
AKSI pemain beregu Muar City BC Lee Yong Dae (kiri) dan Tan Wee Kiong ketika menentang pasangan Puchong United BC.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kelab Badminton Muar City (Muar City BC) berjaya mempertahankan kejuaraan Purple League apabila mengungguli tangga teratas liga dengan mengumpul 106 mata mengetepikan Kelab Badminton Petaling Jaya (Petaling Jaya BC) di tempat kedua dan Kelab Badminton Puchong United (Puchong United BC) ketiga.

Muar City yang dibarisi beregu lelaki nombor satu dunia, Lee Yong Dae (Korea Selatan) dan beberapa pemain kebangsaan seperti Tan Wee Kiong, Tan Boon Heong serta Chan Peng Soon berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1 juta beserta trofi.

Bagaimanapun, dalam perlawanan terakhir semalam di Arena of Stars Resort World Genting, Muar City BC tumpas kepada Puchong United 8-9 tetapi tidak mengganggu kedudukan mereka di puncak liga.

Puchong United BC terlebih dulu berada di depan apabila perseorangan lelaki, Liew Daren menumpaskan Tan Chun Seang 11-7, 11-9, 11-7 dan pemain import dari Jepun, Ayumi Mine pula terus menambah derita Muar City BC selepas mengalahkan Rusydina Antardayu 7-11, 11-6, 11-5, 11-5.

Muar City BC berjaya bangkit apabila gandingan beregu campuran, Peng Soon-Lee Hyo Jung meraih kemenangan pertama menewaskan Wong Fai Yin-Cheng Wen Hsing 11-8, 11-9, 11-9.

Gandingan Yong Dae-Wee Kiong ternyata unggul apabila menumpaskan wakil Puchong United BC, Ow Yao Han-Tan Wee Gieen 11-3, 11-8, 11-9 dan pemain veteran Korea Selatan, Lee Hyun Il pula kalah kepada Ng Ka Long 5-11, 11-4, 10-11, 8-11.

Menurut Yong Dae, dia berasa puas dan gembira berjaya membantu Muar City BC untuk mempertahankan kejuaraan, dalam masa sama bersedia untuk beraksi untuk edisi ketiga liga tahun ini.

“Purple League memberi saya peluang terbaik untuk bergandingan bersama pemain utama Malaysia dalam acara beregu lelaki seperti Boon Heong dan Wee Kiong. Wee Kiong adalah rakan terbaik ketika bergandingan bersama dan dia juga seorang pemain yang hebat,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Naib juara, Petaling Jaya BC pula meraih RM400,000 dan Puchong United di tempat ketiga membawa pulang RM200,000.

Selepas ini, lapan pasukan teratas liga akan bersaing dalam Cabaran Juara-Juara yang berlangsung pada 12 hingga 17 Januari ini di Arena of Stars Resort World Genting dengan format kalah mati.

Selain Muar City BC, Petaling Jaya BC, Puchong United BC lima pasukan lain yang layak ialah Kelab Badminton Cheras (Cheras BC), Kelab Badminton Petaling (Petaling BC), Kelab Badminton Kepong (Kepong BC), Kelab Badminton Ampang Jaya (Ampang Jaya BC) dan Kelab Badminton Serdang (Serdang BC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 8:22 AM