Kuala Lumpur: Kepong BC mara ke pusingan akhir Cabaran Juara-Juara 2015 apabila menumpaskan Cheras BC 16-7 di peringkat separuh akhir di Arena Of Stars, Genting Highland semalam.

Bagaimanapun, mereka bermula dengan langkah kiri apabila pemain perseorangan, Nur Azriyn Ayup tumpas 9-11, 11-7, 6-11, 4-11 kepada bekas pemain kebangsaan Muhammad Hafiz Hashim sebelum Kepong BC bangkit menerusi pemain jemputan dari Singapura, Liang Xiao Yu pada aksi perseorangan wanita yang mudah menjinakkan pemain berusia 23 tahun, Sarita Suwanakijboriharn 11-10, 8-11, 11-6, 11-7.

Pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong-Ow Yao Han terus memberi mata buat Kepong BC apabila mengalahkan Muhammad Hafizi Hashim- Zakry Ab Latif 11-6, 11-7, 11-5.

Gandingan beregu campuran, Hendra Gunawan-Mei Qili tidak berdepan masalah untuk mengecewakan wakil Cheras B, Razif Ab Latif-Soong Fie Cho 11-10, 11-9, 6-11, 10-11, 11-8.

Kemenangan Kepong BC disahkan dengan kejayaan pemain perseorangan negara, Goh Soon Huat yang mudah mengalahkan Sim Fong Hao 11-6, 11-8, 11-8 sebelum Low Juan Sheng-Soo Kar Seong melengkapkan kemenangan Kepong BC apabila menewaskan Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid-Trawut Potieng 11-9, 11-9, 9-11, 11-8.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:07 AM