RUSYDINA benam perseorangan wanita  Ampang Jaya BC.
RUSYDINA benam perseorangan wanita Ampang Jaya BC.

Genting Highlands: Kelab Badminton Muar City (Muar City BC) semakin hampir meraih kejuaraan berganda musim ini apabila mara ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Kelab Badminton Ampang Jaya (Ampang Jaya BC) 9-0 pada separuh akhir Cabaran Juara-Juara di sini semalam.

Muar City BC yang mempertahankan kejuaraan Purple League minggu lalu, berada di depan (3-0) selepas perseorangan lelaki dari Korea Selatan, Lee Hyu Il menang 11-9, 11-10, 11-8 ke atas bekas pemain kebangsaan, Goh Giap Chin.

Pemain perseorangan wanita Muar City BC, Rusydina Antardaya pula tidak berdepan masalah menumpaskan Desiree Siow 11-7, 11-8, 11-9 untuk menjadikan kedudukan 6-0.

Beregu campuran, Hang Sang Hun-Lee Hyo Jung pula mengesahkan slot Muar City ke perlawanan akhir apabila mengalahkan pasangan, Ong Yew Sin-Shevon Lai 11-8, 11-7, 11-6.

Menurut pengurus Muar City BC, Huan Woo Han, beliau berharap momentum di saingan separuh akhir semalam mampu diteruskan tidak kisah bertemu dengan mana-mana pasukan sekali pun.

“Kami memang mahu mencuba untuk memenangi Cabaran Juara-Juara walaupun sedar lawan yang akan mara ke perlawanan akhir nanti bukan mudah untuk dikalahkan,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:05 AM