CITROEN C4 Picasso.
CITROEN C4 Picasso.
Oleh Erywan Norshal


Bentuk lebih menarik, luas dan tahap jimat minyak menjadikan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, Citroen C4 Picasso sebagai taruhan terbaru Naza Euro Motors meningkatkan jualan tahun ini.

Bersandarkan sehingga 30 peratus daripada jualan keseluruhan produk Citroen bagi 2016, model baharu itu turut menyertai pasaran lebih besar dalam industri permotoran selepas dijual kurang RM150,000.

Citroen C4 Picassco mempunyai lima tempat duduk dibangun menggunakan platform modular kod EMP2 dengan ruang kabin luas serta rekaan luaran menarik.

Bentuknya lebih pendek berbanding model kenderaan pelbagai guna (MPV), Citroen C4 Grand Picasso yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Imej baharunya tampak bergaya dengan bentuk hadapan lebih futuristik di mana lampu nyalaan siang LED berbentuk nipis.

Ia dilihat bersambung dengan garisan jeriji radiator atas lampu utama berbentuk langsing, manakala bahagian belakang dilengkapi lampu LED futuristik 3D.

Padanan platform modular kod EMP2, ruang kabinnya ternyata lebih luas dan memberikan keselesaan kepada penumpang.

Ruang kabin, Citroen C4 Picasso hadir dengan teknologi kreatif selepas dilengkapi permukaan digital sepenuhnya lebih intuitif dan canggih.

Papan pemukanya lebih menarik dengan padanan dua skrin berbeza pada bahagian tengah yang bersaiz masing-masing iaitu tujuh inci dan 12 inci.

Tempat duduk pemandunya juga memiliki ciri terkini selepas mempunyai fungsi mengurut serta dilengkapi sokongan belakang boleh laras.

Apa yang penting, jentera dikuasakan enjin 1.6 liter turbo itu menghasilkan kuasa 162hp dan tork setinggi 240Nm dengan dipadankan transmisi automatik enam kelajuan.

Enjin THP 165 itu turut menawarkan penjimatan bahan api dengan bacaan purata 17.3 kilometer bagi setiap liter dan prestasinya meningkat sehingga 10hp di mana memecut 210 kilometer sejam (km/j).

Ia memiliki ciri keselamatan terbaik apabila dilengkapi Sistem Bantuan Parkir, Sistem Pemantauan Titik Buta, Sistem Amaran Penukaran Lorong.

Jentera itu didatangkan dalam empat warna ia­itu putih, biru, kelabu dan merah yang dijual pada harga RM148,888 atas jalan, selain hadir jaminan selama lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had.

Sementara itu, Pengurus Besar Naza Euro Motors, Lionel P Jayasinghe berkata, harga kenderaan Citroen meningkat sehingga tiga peratus berikutan kelemahan ring­git buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:02 AM