PEUGEOT 308 THP Active.
PEUGEOT 308 THP Active.

Kereta Tahunan Terbaik Eropah di Pameran Auto Geneva 2014, kini hadir dengan varian baharu menerusi Peugeot 308 THP Active.

Model baharu itu ‘jelmaan’ Peugeot 308 THP diperkenalkan April lalu, tetapi menerima sentuhan gaya yang diperhalusi serta sofistikated.

Ciri itu boleh dilihat pada gabungan jeriji hadapan dilengkapi lampu utama projektor Halogen, lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus.

Rekaan berkualiti turut terserlah pada bahagian belakang dengan kehadiran perumah lampu LED bentuk ‘tiga cakar’ singa.

Ia masih menggunakan kuasa 1.6 liter pengecas turbo dengan transmisi automatik enam kelajuan Teknologi Quickshift daripada jenama Aisin.

Gabungan berkenaan memberikan impak lebih baik dengan menyalurkan 150 PS serta tork setinggi 240 Nm, selain mampu dipandu sejauh 800 kilometer (km) dengan setangki bahan api.

Prestasinya diperkuatkan lagi selepas beban dikurangkan sehingga 140 kilogram selepas menggunakan Platform Modular Cekap (EMP2) generasi baharu.

Menjengah bahagian kabinnya, ruang berkenaan diceriakan dengan empat ciri Peugeot i-Cockpit membabitkan stereng kompak premium, panel instrumen ‘head-up’ dengan rekaan simetri bergaya, konsol tengah lebih tinggi dan skrin sesentuh pelbagai fungsi HD bersaiz 9.7 inci.

Ciri lain turut menyerikan ruang, membabitkan kawalan suhu automatik dua zon, tempat duduk balutan premium Metax, brek parkir elektrik automatik, sistem audio Arkamy dengan enam pembesar suara dan sambungan multimedia untuk radio, iPod, Bluetooth serta USB.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, Peugeot 308 THP Active adalah varian baharu yang ditawarkan dengan harga anggaran RM120,888.

“Selepas pelancaran Peugeot 308 THP pada April lalu, ia menjadi model jualan terbaik kami dengan mencatatkan 14 peratus pada tahun ini.

“Bagaimanapun, varian baru Peugeot 308 THP Active adalah sama berbanding sebelum ini merangkumi gaya, teknologi dan keselamatan,” katanya.

Peugeot 308 THP Active masih mementingkan ciri keselamatannya selepas dilengkapi enam beg udara, Program Kestabilan Elektronik (ESP) termasuk ABS, EBD, EBA dan Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC).

Ia turut dilengkapi Bantuan Mula Mendaki dan ISOFIX sekali gus menerima penarafan lima bintang daripada Euro NCAP.

Model berkenaan ditawarkan lima warna membabitkan Artense Grey, Bianca White, Nera Black, Ruby Red dan Mocha Brown yang turut hadir dengan jaminan lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:01 AM