KIA Rio Sedan X.
KIA Rio Sedan X.
PAPAN pemuka dilengkapi sistem maklumat hiburan dengan kamera undur.
PAPAN pemuka dilengkapi sistem maklumat hiburan dengan kamera undur.
KIT badan tambahan membuatkan ia tampak bergaya.
KIT badan tambahan membuatkan ia tampak bergaya.
Erywan Norshal


Aksesori tambahan pada Kia Rio Sedan X ternyata memberi impak kepada bentuknya dan sesuai untuk golongan muda yang mahu memiliki kenderaan bergaya.

Berbanding varian sebelum ini, Kia Rio Sedan X didatangkan dengan kit badan penuh membabitkan bahagian depan, sisi, belakang dan padanan spoiler belakang menyalurkan satu penampilan garang serta menarik.

Bagi melebarkan pandangan hadapannya, jentera itu diperkuatkan dengan jeriji ‘hidung harimau’ serta dilengkapi lampu kabus untuk memberi jarak penglihatan secara optimum.

Ruang dalaman masih kekal selesa, tetapi diperkemaskan sistem maklumat hiburan dengan kamera undur yang bersaiz tujuh inci, selain dilengkapi stereng teleskopik.

Sistem yang mesra pengguna itu berfungsi seperti ‘Mirror Link’ untuk disambungkan dengan telefon pintar menggunakan Android dan IOS. Fungsi Mirror Link memaparkan dan mengawal aplikasi pada skrin kenderaan berkenaan.

Selain itu, Kia Rio Sedan X menawarkan ruang but yang lebih luas berkapasiti 389 liter dan ia boleh ditambah sekiranya membaringkan kerusi belakang dengan penambahan 35 peratus keluasan.

Rangkaian kuasa masih lagi kekal seperti varian terdahulu selepas menggunakan enjin Gamma 1.4 MPI DOHC CVVT yang menghasilkan 109PS dan tork setinggi 137Nm dengan padanan transmisi automatik empat kelajuan.

Malah, stereng dilengkapi kuasa motor elektrik mampu memberi penjimatan bahan api sehingga tiga peratus berbanding penggunaan sistem hidraulik.

Kia Rio Sedan X dipenuhi dengan ciri keselamatan yang mendahului kelasnya bagi memberi perlindungan maksimum kepada penumpang.

Antara ciri keselamatan membabitkan empat brek cakera, sistem pemantauan tekanan tayar, kawalan kestabilan elektronik (ESC), enam beg udara dan Isofix.

Ditawarkan dengan warna perak, merah, biru dan putih, ia dijual pada harga RM77,888 seunit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, Kia Rio Sedan X melonjakkan produk Rio dengan penambahan aksesori tambahan.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan lebih 1,400 unit jualan bagi model Kia Rio Sedan bagi menyumbang prestasi Naza Kia Malaysia iaitu 6,100 unit pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:01 AM