REKA bentuk Eropah.
REKA bentuk Eropah.
Mohd Razlan Salleh


PENGEDAR rasmi jenama Citroen tempatan Naza Euro Motors Sdn Bhd memperkenalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Grand C4 SpaceTourer dengan rekaan lebih moden dan keselesaan premium.

Direka untuk perjalanan selesa tujuh penumpang, Citroen Grand C4 SpaceTourer turut menawarkan gaya pemanduan jitu sepanjang perjalanan.

Dikuasakan nadi 1.6 Turbo High Pressure (THP) mampu menjana kuasa mencecah 167PS manakala daya kilas maksimum setinggi 240Nm pada 1,400rpm.

Enjin berkuasa ini digabungkan bersama kotak gear automatik enam kelajuan yang mengoptimumkan penjimatan bahan api.

Keselamatan pemandu dan penumpang turut diperkukuhkan dengan casis Efficient Modular Platform 2 (EMP2) dengan enam beg udara, Active Safety Brake (ASB), Driver Attention Alert (DAA), Emergency Braking Assistance (EBA), Electronic Stability Control (ESC).

Hill Start Assist (HSA), Interior Child Monitoring Mirror (ICMM), Driver Attention Alert (DAA) Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Edaran Daya Agihan brek Elektronik (EBD), Kawalan Cengkaman (TC) dan ISOFIX.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kumpulan Automotif) Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George berkata, selain reka bentuk dipertingkatkan, MPV ini berorientasikan keluarga membolehkan pemandu serta penumpang menikmati keselesaan setiap masa.

“Direka dengan ciri inovasi, versatil dan ruang kabin yang luas, Citroen Grand C4 SpaceTourer adalah MPV tujuh tempat duduk yang praktikal.

“Model ini menggantikan Grand C4 Picasso dengan beberapa ciri keselamatan termaju dan berharap diterima baik rakyat tempatan,” katanya.

RUANG kargo belakang boleh dipertingkatkan.
RUANG kargo belakang boleh dipertingkatkan.

Ciri luaran

Ciri luaran menampilkan gaya kenderaan Eropah termasuk rekaan lebih aerodinamik manakala sepasang lampu utama Bi-Xenon dan lampu nyalaan siang (DRL) bersambungan bersama garis melintang menghiasi bahagian hadapan.

Lampu kabus pada bampar hadapan memastikan pemanduan lebih jelas pada waktu malam atau mengharungi keadaan cuaca kurang baik.

Bahagian belakang turut menampilkan ciri unik dengan perumah lampu berbentuk C tiga dimensi (3D) selain padanan rim aloi Boa bersaiz 17 inci.

Selain itu, pintu belakang bebas tangan boleh dibuka dengan menggerakkan kaki di bawah bampar memudahkan barangan diletakkan ke dalam ruang kargo.

PEMANDANGAN pemandu yang luas.
PEMANDANGAN pemandu yang luas.

Ciri dalaman

Meninjau ke ruang kabin, Grand C4 SpaceTourer didatangkan dengan kombinasi kemasan premium Ambien Hype Grey manakala papan pemuka menempatkan paparan HD bersaiz 12 inci bersama skin sentuh tujuh inci.

Sistem pintar ini menawarkan ciri ketersambungan standard Android Auto, Apple Carplay, Mirrorlink dan USB.

Konsol tengah menempatkan brek elektrik automatik, soket 12V dan meja kecil boleh lipat seperti dalam pesawat.

Sebagai kenderaan keluarga, MPV ini menawarkan banyak ruang penyimpanan di bawah lantai, ruang mudah alih sementara tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat untuk memberikan ruang kargo seluas 2,181 liter.

CITROEN Grand C4 SpaceTourer. kenderaan tujuh penumpang.
CITROEN Grand C4 SpaceTourer. kenderaan tujuh penumpang.

Empat pilihan warna

Dijual pada harga RM149,888 tanpa insurans, empat pilihan warna ditawarkan iaitu Merah Ruby, Biru Lazuli, Hitam Onyx dan Putih Polar.

Untuk tempoh terhad, Grand C4 SpaceTourer hadir dengan tawaran servis percuma selama tiga tahun selain jaminan lima tahun atau jarak perbatuan 120,000 kilometer, bantuan tepi jalan 24 jam dan akses eksklusif ke Sky Lounge di Subang Skypark.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 7:01 AM