Jakarta: Education Malaysia (EM) di Indonesia akur dengan sebarang keputusan Universitas Sumatera Utara (USU) mengenai tindakan bakal dikenakan terhadap dua penuntut Malaysia yang dipercayai terbabit dengan kes dadah.

Pengarahnya Dr Juzhar Jusoh berkata EM sentiasa menghormati peraturan ditetapkan USU bagi kepentingan disiplin penuntutnya termasuk pelajar asing di universiti itu.

"EM mempunyai pengalaman mengenai masalah pelanggaran disiplin oleh pelajar Malaysia dan akur dengan tindakan diambil," katanya di sini.

Semalam, media tempatan melaporkan polis di Medan menahan dua penuntut Malaysia yang kini di tahun akhir jurusan perubatan dan pergigian USU kerana memiliki dadah jenis Ecstacy.

edua-duanya ditahan sejurus selepas membeli dadah itu daripada seorang pengedar di Kampung Kubur Jalan Airlangga di Medan.

Ketua Polis Tempatan Medan Baru Roni Sidabutar dipetik sebagai berkata kedua-dua mahasiswa Malaysia itu yang berumur 20-an kini ditahan di balai polis untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata polis menerima maklumat ada kes pengedaran dadah di kawasan kampung berkenaan dan selepas bergegas ke kawasan itu, anggotanya mengekori dua lelaki yang mencurigakan.

Selepas ditahan untuk pemeriksaan, polis menemui beberapa pil Ecstacy dalam poket seorang daripada mereka dan siasatan awal mendapati mereka membeli dadah itu dengan harga Rp600,000 (kira-kira RM180), kata Roni.

Dr Juzhar berkata difahamkan ibu bapa kedua-dua pelajar itu sudah bertemu dengan pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Medan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Kes itu dipantau seorang pegawai di konsulat berkenaan," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 8:11 PM