Penduduk Padang, Indonesia, menggunakan apa saja kenderaan yang ada untuk bergerak ke kawasan tinggi berikutan bimbang berlakunya tsunami akibat genpa bumi 7.8 magnitud malam ini. - Foto AFP
Penduduk Padang, Indonesia, menggunakan apa saja kenderaan yang ada untuk bergerak ke kawasan tinggi berikutan bimbang berlakunya tsunami akibat genpa bumi 7.8 magnitud malam ini. - Foto AFP
Keadaan lalu lintas di kota Padang, Indonesia, menjadi sesak berikutan orang ramai yang panik bergerak ke kawasan tinggi bimbang berlakunya tsunami akibat genpa bumi 7.8 magnitud malam ini. - Foto AFP
Keadaan lalu lintas di kota Padang, Indonesia, menjadi sesak berikutan orang ramai yang panik bergerak ke kawasan tinggi bimbang berlakunya tsunami akibat genpa bumi 7.8 magnitud malam ini. - Foto AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Laporan televisyen Indonesia menyatakan gempa itu turut dirasai sehingga ke Padang di Sumatera Barat, Medan dan Aceh manakala air di pantai Meulaboh di Aceh Barat dilaporkan surut secara tiba-tiba yang dikhuatiri sebagai tanda tsunami.

Ketua Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Andi Eka Sakya bagaimanapun berkata, penduduk diminta tidak panik dan sentiasa mematuhi arahan dikeluarkan.

Namun, ribuan penduduk di kawasan pantai di Padang dilaporkan bergerak ke kawasan tinggi di Kota Padang sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan dan keadaan di kota itu dilaporkan mengalami kesesakan teruk.

Sementara itu, Pengarah Education Malaysia di Jakarta, Dr Juzhar Jusoh ketika dihubungi berkata, 314 pelajar Malaysia di Aceh dan 78 pelajar di Andalas, Padang diarah berpindah ke tempat selamat.

Katanya, semua ketua pelajar sudah dimaklumkan supaya mengikut arahan ditetapkan dan Education Malaysia sedang menguruskan keperluan pelajar.

"Kita sedang memantau keadaan dan menghubungi ketua-ketua pelajar dan setakat ini kesemua pelajar tahu apa harus mereka lakukan. Mengikut laporan diterima, pelajar memberitahu gempa kali ini terasa kuat di Padang dan masa yang berlaku agak lama," kata beliau.

Beliau berkata, ibu bapa di Malaysia tidak perlu bimbang kerana Education Malaysia mempunyai sistem prosedur bagi menghadapi sebarang bencana alam dengan melantik seorang ketua bagi setiap 10 pelajar.

Juzhar berkata, menerusi sistem itu, semua ketua pelajar akan memastikan anggota kumpulannya dapat berhimpun dan tiada sesiapa yang akan ketinggalan.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini malam ini, menyatakan gempa bumi itu berpusat kira-kira 649 kilometer barat daya Siberut, Indonesia, iaitu 1,163 kilometer dari Port Dickson, Negeri Sembilan pada 8.49 malam tadi.

Menurut jabatan itu, gegaran dirasai di beberapa tempat di Selangor serta Johor dan jabatan sedang memantau perkembangan gempa bumi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 11:21 PM