BENJY
BENJY
myMetro

Medan: Polis Indonesia belum menemui sebarang bukti mengaitkan pelakon Malaysia, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 39, dengan mana-mana sindiket pengedaran dadah.

Ketua Penolong Pengarah Narkotik Polis Sumatera Utara Ilman Wijaya berkata, pihaknya masih menyiasat perkara itu dan bekerjasama dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan.

“Benjy hanya mempunyai alibi pergi mencari seorang juruhebah di Medan, tetapi tiada bukti lain yang didapati daripadanya,” katanya seperti dilapor Nasional Republika.

Menurutnya, sejak ditahan, tiada anggota keluarga datang melawat pelakon berkenaan, hanya konsulat Malaysia yang menemuinya di Ibu Pejabat Polis Sumatera Utara Jumaat lalu.

“Selepas kami menimbang berat syabu yang disembunyikan dalam duburnya, ternyata hanya 4.5 gram saja berbanding sebelum ini kami nyatakan seberat 14 gram.

“Benjy turut mengakui mengedar dadah demi mencari wang untuk membiayai kos rawatan ibunya yang menghidap kanser payudara,” katanya.

Khaeryll Benjamin atau lebih dikenali sebagai Benjy ditahan kastam republik itu selepas menemui syabu disembunyikan pada duburnya pada 18 April lalu.

Dia ditahan di Lapangan Terbang Kualanamu, Medan sebaik tiba dengan penerbangan Malindo Air dari Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 6:32 AM