Jakarta: Kerajaan bersedia meneliti kes pelajar perubatan Malaysia di bawah program berkembar AUCMS-USU (Universiti Sumatera Utara) yang sedang menghadapi masalah tunggakan yuran, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerajaan sudah maklum mengenai kes yang dihadapi pelajar terbabit tetapi tidak mempunyai maklumat rasmi mengenainya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, jika pihaknya menerima aduan kelak, kes itu akan diteliti bagi memastikan pelajar tidak menjadi mangsa.

Seramai 393 pelajar Malaysia mengikuti ijazah perubatan di bawah program berkembar AUCMS-USU yang diperkenalkan sejak 2002.

Kolej perubatan swasta di Pulau Pinang itu dikatakan tidak membuat pembayaran yuran kepada USU walaupun sudah menerima wang daripada pihak penaja pelajar.

Bagaimanapun, Majlis Amanah Rakyat (MARA) sudah menyelesaikan tunggakan bayaran 115 pelajar tajaannya yang terbabit.

Menurut USU, jumlah tunggakan keseluruhan yuran pelajar AUCMS ialah RM7,620,025.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 9:56 AM