UniMAP berjaya memperbaiki pencapaian dalam pertandingan sukan.
UniMAP berjaya memperbaiki pencapaian dalam pertandingan sukan.

Karnival Varsiti IMT-GT yang dihoskan Rajamanggala University Technology Srivijaya (RMUTs), Thailand, baru-baru ini, berjaya menonjolkan potensi siswa dalam bidang akademik, sukan dan kebudayaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan berkata, karnival tahunan selama tujuh hari itu menjadi bukti semangat perpaduan dapat ditonjolkan melalui pelbagai aktiviti walaupun terdapat perbezaan dari segi budaya, agama dan latar belakang.

Menurutnya, Karnival Varsiti IMT-GT kali ke-18 itu turut membuka minda siswa untuk mendekati masyarakat.

“Melalui perbezaan itu, mereka perlu menggunakan setiap peluang untuk mencari titik persamaan, berkongsi idea dan seterusnya mengeratkan hubungan sesama negara melalui kerjasama dijalankan.

“Sejak diperkenalkan pada 1995, karnival ini menjadi medan terbaik untuk siswa dari Malaysia, Indonesia dan Thailand menonjolkan potensi diri demi manfaat bersama,” katanya.

Selain UniMAP, karnival turut disertai Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan empat universiti dari Indonesia iaitu Institut Teknologi Medan (ITM), Universiti Sumatera Utara (USU), Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) dan Universiti Medan (Unimed).

Antara aktiviti akademik yang dijalankan ialah seminar, pembentangan kertas kerja dan pembentangan berkumpulan.

Kumpulan diketuai siswa UniMAP, Farrah Hanim Osman Jailani, 21, menumpaskan empat lagi kumpulan lain untuk muncul pemenang pembentangan terbaik berkumpulan.

UniMAP turut berjaya memperbaiki pencapaian dalam bidang sukan tahun ini apabila meraih dua pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi enam acara dipertandingkan.

Pingat perak disumbangkan pasukan bola keranjang dan bola tampar pantai lelaki manakala pingat gangsa oleh pasukan tenis.

Juara keseluruhan milik Thaksin University dengan tiga pingat emas.

Bagi kategori kebudayaan, UniMAP yang diwakili 17 siswa berjaya menerima pengiktirafan kumpulan kebudayaan harapan terbaik. - Ruhaiza Rusmin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:32 AM