Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menahan empat lelaki dan merampas pelbagai dadah bernilai RM1.23 juta dalam tiga serbuan berasingan di Cheras dan Sentul.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pertama jam 6.15 petang Isnin lalu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun yang menaiki kereta Toyota Vios di sebuah stesen minyak di Lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam kereta menemui dadah syabu seberat 56 gram dan siasatan lanjut jam 9.20 malam polis kemudian ke tempat letak kereta di sebuah kondominium di Cheras.

“Hasil pemeriksaan di dalam but kereta Proton Wira menemui pil eramin 5 sebanyak 14,800 biji dan syabu 6,680 gram sementara pemeriksaan di dalam sebuah lagi kereta Perodua Myvi tidak menemui dadah.

“Ujian saringan suspek positif dadah methamphetamine dan direman seminggu bermula Selasa lalu.

“Sementara itu, dalam satu lagi serbuan jam 9.40 malam hari sama polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di hadapan sebuah rumah di Kepong bersama dadah pil eramin 5 sebanyak 1,000 biji,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, pemeriksaan di dalam rumah pula menemui ketamin seberat 19.2 gram di mana ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah ketamin.

MAZLAN menunjukkan dadah yang dirampas bernilai RM1.23 juta dalam tiga serbuan berasingan di Cheras dan Sentul dan menahan empat lelaki. FOTO MUHAAMAD HAFIS NAWAWI
MAZLAN menunjukkan dadah yang dirampas bernilai RM1.23 juta dalam tiga serbuan berasingan di Cheras dan Sentul dan menahan empat lelaki. FOTO MUHAAMAD HAFIS NAWAWI

“Suspek turut direman seminggu bagi membantu siasatan.

“Soal siasat ke atas suspek kemudian berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 40 tahun jam 8 malam keesokan harinya di tepi jalan Kepong,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kereta Honda City dinaiki lelaki itu menemui 1,100 biji pil eramin 5 dan ecstasy sebanyak 200 biji.

“Siasatan lanjut kemudian polis ke sebuah rumah di Medan Hujan Rahmat, Jalan Klang lama dan menemui serbuk ecstacy 6,980 gram, eramin 5 (230 biji), pil ecstacy (89 biji) dan 101 batang rokok ganja.

“Ujian saringan air kencing juga suspek positif dadah amphetamine dan ketamin serta direman seminggu bermula semalam,” katanya.

Katanya, tangkapan kedua dan ketiga turut berkaitan dengan nilai keseluruhan termasuk sitaan bagi tiga kes itu adalah RM1. 32 juta.

“Mereka ini juga baru menjalankan kegiatan ini empat bulan lalu dan menyewa rumah itu sekitar RM1,100 dan RM1,200.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 5:25 PM