CUACA panas sedikit pun tidak menjadi halangan.
CUACA panas sedikit pun tidak menjadi halangan.
PESERTA yang cedera menunggu bantuan petugas.
PESERTA yang cedera menunggu bantuan petugas.
PESERTA bersemangat menamatkan kayuhan.
PESERTA bersemangat menamatkan kayuhan.
PESERTA ketika berkayuh dikawasan berbatu.
PESERTA ketika berkayuh dikawasan berbatu.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Curam, berlumpur dan laluan berbukit sejauh 57 kilometer yang perlu diharung peserta dalam Beaufort Cycling Team (BCT) Mountain Bike (MTB) Race baru-baru ini bukan halangan besar buat penggemar sukan basikal apabila rata-ratanya berjaya menamatkan kayuhan.

Meskipun berkayuh dalam cuaca panas, persaingan dalam kejohanan yang pertama kali diadakan itu cukup sengit apabila disertai peserta dari kategori profesional dan amatur.

Lebih menarik lagi, perlumbaan basikal lasak ini disertai peserta dari Sarawak, Semenanjung, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei.

Seawal jam 6 pagi, 500 peserta sudah mula berkumpul di pekarangan Tamu Daerah Beaufort sebelum dilepaskan oleh Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Shaid Othman, pada 7.30 pagi.

Uniknya perlumbaan ini apabila peserta perlu berkayuh melintasi 10 buah kampung iaitu Kampung Muhibah, Kampung Lumat, Kampung Mawao, Kampung Selagon, Kampung Kubu, Kampung Kebidang, Kampung Parit, Kampung Kelabu dan Kampung Limbawang yang memberikan cabaran berbeza.

Malah, boleh dikatakan cabaran yang ditempuh peserta cukup lengkap apabila mereka perlu menempuh laluan berbukit, curam dan berlumpur.

Bermula dengan zon pendakian di laluan berbatu kemudian melalui kawasan berukit dan curam di kawasan gravel sebelum kembali membuat kayuhan di laluan beraspal seterusnya melalui beberapa buah kampung, ia sudah cukup untuk menguji ketahanan peserta.

Presiden Persatuan Berbasikal Daerah Beaufort Yunus Abdul Rajah berkata, objektif penganjuran kayuhan itu adalah bagi menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal.

Katanya, selain itu program itu turut dapat mengeratkan silaturahim antara peserta dari Sabah, Sarawak, Semenanjung, Brunei dan Labuan.

“Program ini sekali gus dapat memperkenalkan tempat menarik di Beaufort yang popular dengan Monyet Belanda dan kelip-kelip,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shaid berkata, BCT MTB Race yang diadakan julung kali itu bakal dijadikan acara tahunan di daerah itu dalam usaha mempromosi industri pelancongan.

Katanya, perlumbaan yang berjaya menarik ramai peminat sukan berbasikal itu menjadi satu petanda baik selain memberi manfaat kepada daerah itu sekali gus mempromosikan industri pelancongan.

“Daerah ini amat terkenal sebagai kawasan pelancongan dan antara tarikannya adalah kehadiran Monyet Belanda, kelip-kelip dan inap desa yang begitu banyak sekali selain sering dikunjungi pelancong luar.

“Justeru, program ini dapat memberi sedikit sebanyak rezeki kepada golongan peniaga apabila ramai pengunjung luar datang ke daerah ini,” katanya.

Katanya, pihaknya turut berbangga apabila menerima penyertaan dua pelumba negara yang pernah mengharumkan Malaysia di pentas dunia. Terdahulu, juara Sukan Asean dan Sukan Komanwel, Shahrin Amir dan Frisco Daniel masing-masing berjaya mendapat tempat pertama dan kedua manakala Johnie Ngongoloy di tempat ketiga.

Bagi kategori wanita pula diungguli Christina Fah dari Brunei, Evvy Olivia Anton (kedua) dan Laura Lotius Bagu (ketiga) manakala kategori remaja diungguli Kennt Mak Ket Siong, Mohd Faizikry (kedua) dan Muhd Imanizayidi (ketiga).

Bagi kategori veteran pula dimenangi Guainus Salagan, Yamin Ali (kedua) dan Foong Jun Choi (ketiga).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:01 AM