AKSI peserta sebaik dilepaskan.
AKSI peserta sebaik dilepaskan.
DUA peserta bersaing ketika meredah laluan berlecak dan berlumpur.
DUA peserta bersaing ketika meredah laluan berlecak dan berlumpur.
AKSI peserta di laluan berbukit dalam keadaan jalan licin.
AKSI peserta di laluan berbukit dalam keadaan jalan licin.
MOHD Joh menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Wanita Terbuka.
MOHD Joh menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Wanita Terbuka.
BEBERAPA peserta mengambil peluang merakamkan gambar kenangan sebaik tamat kayuhan.
BEBERAPA peserta mengambil peluang merakamkan gambar kenangan sebaik tamat kayuhan.
Erdiehazzuan Ab Wahid


Hujan lebat menukar trek menjadi lebih ekstrem sedikit pun tidak menggugat 150 peserta Kejohanan Jambori Mountain Bike sempena Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Sabah (PSKPPS) Edisi Pertama 2016 di Menggatal, baru-baru ini.

Apakan tidak, dengan badan basah kuyup selain perlu menempuh laluan berbukit yang licin serta air hujan bertakung, semangat ditunjukkan peserta untuk menamatkan kayuhan cukup kuat dan sedikitpun tidak luntur.

Bagi yang tidak biasa, hujan pastinya satu masalah kerana ia bukan sekadar memperlahankan rentak kayuhan, sebaliknya menjadikan badan rasa tidak selesa. Kalau terlalu memaksa, baju, seluar serta kasut yang lencun menyebabkan anggota badan melecet.

Ibarat alah bisa tegal biasa, segalanya ditempuh peserta dengan semangat kesukanan dan minat cukup tinggi dalam kejohanan anjuran Unit Sukan Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu.

Kejohanan ini turut mendapat kerjasama Kelab Peminat Basikal Sabah (KPBS), Kelab Sukan Berbasikal Sulaman Tuaran (GSB), Darau Cycling Team (DCT) dan Pendengar Setia Suria FM Sabah (PSSFMS).

Aksi perlumbaan bermula tepat jam 7.30 pagi sebaik dilepaskan Setiausaha Politik Kementerian Kewangan Sabah Mohd Joh Wid bersama Penolong Pengarah Kanan Unit Sukan Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPNS Zainal Madi dan Pegawai Unit Pembangunan Kemanusiaan PPD Kota Kinabalu Masdi Mus.

Kerancakan peserta untuk menjadi pendahulu kejohanan ini mula bertukar menjadi medan ujian fizikal yang melemahkan mental sebaik hujan turun.

Dalam kejohanan ini, mereka menempuh trek sejauh 30 kilometer membabitkan laluan berturap, berbukit sekitar Kampung Kebagu, Kampung Numbak, Jalan Yayasan Kampung Kebagu dan melalui kawasan berlumpur sebelum membuat dua pusingan yang berakhir di Sekolah Kebangsaan Kebagu. Sebanyak tiga kategori dipertandingankan iaitu Lelaki Terbuka, Lelaki Veteran dan Wanita Terbuka.

Pegawai Unit Sukan Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPNS Muhamad Zaineh Jali berkata, pelaksanaan edisi kali pertama itu sebagai pengenalan kepada penganjuran sepenuhnya tahun depan yang akan berlangsung di daerah Beaufort.

“Meskipun PSKPPS sudah dilaksanakan begitu lama, namun pada tahun ini kami memperkenalkan sukan berbasikal yang begitu diminati ramai termasuk kakitangan JPNS dan guru sekolah.

“Pada tahun ini, kiraan pemenang adalah secara individu dan tidak dikira mengikut mata, namun pada tahun depan ia akan dilaksanakan berdasarkan kiraan mata terkumpul bagi setiap siri kejohanan,” katanya.

Muhamad Zaineh berkata, semua peserta melalui 80 peratus laluan berturap manakala selebihnya adalah laluan berlumpur.

“Kami memilih laluan di sini kerana kurangnya kenderaan selain dapat mengurangkan kesesakan di kawasan bandar.

“Namun pihak penganjur juga ingin memohon maaf jika terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran edisi kali pertama ini,” katanya.

Menurutnya, oleh kerana sebahagian trek melalui kawasan di tepi pantai, ia sedikit sebanyak mempromosi keindahan pantai di Menggatal.

Sementara itu, peserta Yandy Merika berkata, trek kejohanan berkenaan antara yang terbaik dan sesuai untuk penganjuran MTB berikutan terjamin daripada aspek keselematan peserta.

“Biarpun ada beberapa laluan sempit, namun peserta berpuas hati dengan penganjuran kali pertama ini.

“Bagi saya, secara keseluruhan ia memang cukup untuk memberi kepuasan kepada peminat sukan lasak untuk menguji mental dan fizikal,” katanya.

Dalam kejohanan berkenaan, kategori Wanita Terbuka dimenangi Alesia Suraya yang mewakili ibu pejabat JPNS diikuti Chong Kong Ling di tempat kedua dan Aton Kuintin, ketiga.

Kategori Lelaki Veteran diungguli Rosland Salleh manakala tempat kedua dimenangi Roslee Uloi dan Ahmadait Dullah, ketiga.

Bagi kategori Lelaki Terbuka, cabaran dimenangi Frisco Daniel manakala Ignatius Ranggang ditempat kedua dan Muhammad Ishak Noor Muhammad, ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:03 AM