500 kerah keringat tempuhi cabaran di laluan Bukit Kusai Tamparuli.
500 kerah keringat tempuhi cabaran di laluan Bukit Kusai Tamparuli.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Memikul basikal di laluan jambatan gantung Tamparuli selain perlu menempuh jalan berbukit dan tanah merah, itulah antara cabaran getir perlu direntasi peserta Mountain Bike Race (MTB) dan Jamboree 2015 anjuran Persatuan Berbasikal Tamparuli (CAKK) baru-baru ini.

Program berlangsung di Bukit Kusai Tamparuli itu berjaya menarik minat lebih 500 penggemar sukan berbasikal dari seluruh Sabah. Kayuhan yang bermula 7.30 pagi itu dilepaskan oleh Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Yeo Boon Hai dan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Sabah Datuk Ibrahim Saad.

Peserta perlu melengkap­kan kayuhan sejauh 28 kilometer yang menyaksikan pelbagai gelagat dan ragam sebelum sampai ke garisan penamat. Biarpun berkonsepkan jambori, ternyata ia bukan mudah kerana cabaran menanti peserta sebaik melalui laluan tanah merah.

Lebih sukar lagi apabila mereka menempuh laluan berbukit selain jambatan gantung Tamparuli yang menyaksikan ada peserta terpaksa memikul basikal bagi memastikan dapat mengharungi halangan berkenaan.

Mungkin nampak sukar, tapi bagi peserta pengalaman dapat menempuh cabaran itu cukup terasa terutama apabila berjaya memintas peserta lain dan meneruskan kayuhan hingga ke garisan penamat.

Selain jambori, turut diadakan MTB Race yang mempertandingkan lima kategori iaitu MTB Men Open Elite, MTB Men Veteran 40 tahun ke atas, MTB Junior Boys 13 hingga 18 tahun dan Downhill Master serta Downhill Open.

Setiausa CAKK Patrik Wong berkata, penganjuran program itu bagi memberikan peluang kepada semua penggemar sukan berbasikal dari seluruh Sabah mengikuti aktiviti sukan lasak selain memberi daya saing kepada peserta.

Katanya, penganjuran itu juga bagi memeriahkan daerah Tuaran sebagai kawasan sukan khususnya aktiviti berbasikal selain memupuk sema­ngat perpaduan berbilang kaum.

“Pada penganjuran dua hari ini, kami mengadakan aktiviti perlumbaan MTB yang mempertandingkan lima kategori selain jambori pada hari kedua dengan melalui beberapa laluan mencabar.

“Bagi MTB, peserta akan melalui kawasan berbatu manakala jambori, mereka perlu melalui beberapa laluan kampung dan berbatu serta perlu melalui jambatan gantung,” katanya.

Katanya, pihaknya turut berbangga apabila penganjuran itu berjaya menarik minat lebih 500 peserta kayuhan sekitar Sabah seperti dari Kota Kinabalu, Kota Belud, Kota Marudu, Lahad Datu, Tawau, Sandakan, Beaufort, Penampang dan

Labuan.

Menurutnya, penganjuran mencabar itu turut mendapat sokongan pelbagai pihak antara­nya Pejabat Daerah Tuaran, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tuaran; Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Persatuan Berbasikal Sabah.

“Secara keseluruhan, penganjuran kali ini berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan selain penghargaan turut diberikan kepada semua pihak yang terbabit.

“Sudah pasti, selepas ini akan ada lagi penganjuran berbasikal seterusnya bagi memupuk semangat sukan dalam diri masyarakat khususnya di Sabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:00 AM